SET MY SOUL ALIGHT







raihani
June 12th 1979  (Age 30)
Female
Malaysia
Sedang memulihkan Permanent Head Damage di UPM dalam bidang Drama Dalam Pendidikan. Suka puisi, suka karya kreatif, suka filem. Baru melahirkan kumpulan cerpen 10+1 bertajuk BADRUL BAMBI.
   

<< November 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30

Kumpulan cerpen BADRUL BAMBI boleh dipesan dengan menghantar emel ke badrulbambi@hotmail.com ataupun deppviggo@yahoo.com.Harga senaskhah,termasuk kos pos ialah RM20.00 Sedang Baca : Aku Ingin Bunuh Harry Potter(Hernowo) Baru Tonton: Geng Jumpa saya juga di facebook,taip Raihani Mohd.Saaid
Free ebay counter

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed


Sunday, September 13, 2009
TRAGIKNYA HARI RAYA

Aidilfitri itu ialah segalanya tentang keinsafan dan mensyukuri nikmat. Tetapi ia juga adalah mengenai kemenangan dan kegembiraan.

Sehubungan dengan itu (macam surat rasmilah pulak!), kepada orang-orang di stesen TV / pengusaha drama, hentikanlah menyiarkan segala macam drama yang sedih dan penuh tragedi sampai plot dan unsur lain tak boleh menyelit langsung. Hentikanlah menyiar / menerbit/ menulis drama yang penuh dengan unsur negatif tentang keluarga Melayu (mengapa mesti Melayu?Oh, sebab ini hari raya Melayu!) yang miskin daif, anak sakit, anak cacat, mak kena seksa, dihina orang kampung, duduk rumah buruk, pondok buruk dan segala macam yang buruk.

Tragedi di alam nyata pun dah cukup banyak. Barang mahal, kemalangan jalan raya, kakitangan awam tak dapat bonus, bantuan zakat tak menyeluruh, wabak influenza A...hai, macam-macam lagilah!

Saya teringat tahun-tahun 80an dulu, komedi sempena raya (dirakam di depan penonton) sentiasa ditunggu-tunggu. Ceritanya mungkin biasa sahaja, tapi lawaknya tidak meleret dan merapu. Antara yang saya ingat menjayakan komedi-komedi 'sederhana tapi berkesan' ini ialah R.Jaafar, Yusni Jaafar, Yahaya Sulong, Acapan, Mr.Os, Norlia Ghani dan Tan Ting. Ramai yang sudah arwah. Tapi sungguh, lawak mereka memang tak merapu! Dan di tahun-tahun sebegitu, tak banyak drama tragedi air mata merambu disiarkan sempena lebaran. Kenapa ya?

Ahmad Busu: Aku pakai mini skirt?Kaubayangkan, kaki dahlah berbulu. Keluar pulak kat tv!Orang semua ambik tv campak dalam sungai!
     -Kampung Sri Wangi-

Posted at 02:05 pm by raihani
Comments (5)  

Sunday, September 06, 2009
MENGENANG KAMPUNG SRI WANGI II

Komedi itu berakar dari kekalutan yang berlaku dalam putaran kosmos serta perlu seorang murba untuk membetulkannya. Senang cakap, komedi boleh tercetus dari salah faham serta kekeliruan, kemudian muncullah watak-watak untuk ‘mempomen’ semula keadaan ini. Proses pomen itu yang sering mengakibatkan kelucuan.

 

Salah satu episod Kampung Sri Wangi (sekitar tahun 80an) menampilkan seniman Pyan Habib sebagai pelakon undangan. Sewaktu umur saya menonton episod itu, saya tidak begitu menyedari betapa besarnya nama Pyan Habib dan betapa signifikannya beliau kepada sekumpulan manusia yang menyokong seni dan kemanusiaan. Beliau menjadi kawan Budin dan datang ke Kampung Sri Wangi dengan tujuan melaporkan bantahan penduduk terhadap loji penapis najis di situ.

                                 

 

Tetapi sebelum beliau tiba, penduduk kampung telah dihebohkan dengan ketibaan pengintip atau spy dari pihak tertentu yang kononnya ingin menghalang bantahan mereka terhadap projek loji. Pyan yang pertama kali datang ke kampung itu, mengambil gambar sana sini serta rambut panjangnya mudah saja mengundang curiga. Lalu, Maidin pun segera memanggil 2 orang mata-mata yang sudah pun datang meronda sebelum itu. Salah seorang dari mata-mata ini ialah Sabri Yunus yang memegang watak ikoniknya, Wes Mai Golok. Buat pengetahuan pembaca sekelian, episod ini merupakan penampilan pertama Sabri ke keluarga Pi Mai Pi Mai dan dia dibawa masuk oleh sifu drama saya, Zakaria Ariffin.

 

Tentu saja berlaku huru-hara semasa adegan menangkap Pyan Habib, terutama sekali yang dipanaskan oleh Pak Uda yang memang terkenal panas baran. Okeylah, siasat punya siasat,rupanya Pyan bukanlah spy yang dikehendaki oleh mata-mata tersebut. Bila tiba masa menyingkap kebenaran, Pyan pun memperkenalkan dirinya dengan jujur iaitu membaca butiran diri di IC.Ketika beliau mengejakan namanya satu persatu kepada Pak Uda, semua orang ketawa besar kerana Pak Uda dalam episod-episod awal trademarknya ialah tidak boleh membaca rumi. Ketawa juga terburai apabila sempat lagi Pyan membacakan bahagian ‘JANTINA’ pada ICnya.

 

Dialog Pyan Habib kepada Pak Uda yang paling berbekas:

 

Pyan Habib : Lagi satu…errmm…I cannot hear…tak mendengar!Jadi apa yang pakcik cakap tu sepatah haram pun saya tak faham!

 

Zami Ismail : Hajat aku memanglah aku nak sepaikan kepala si spy yang kamu sebut tadi!

            -Kampung Sri Wangi-

Posted at 12:57 am by raihani
Comments (7)  

Monday, August 31, 2009
JEBAT DAN EDMOND DANTES

Sajak ini pernah tersiar sebahagiannya di sini. Jadi dengan kuasa yang ada pada saya sebagai penulis asal, maka saya siarkan sepenuhnya sajak yang pernah terbit di Dewan Sastera, Ogos 2006. Apa jua tafsiran anda setelah membaca sajak ini, bolehlah dikongsi dengan saya. SALAM MERDEKA!

JEBAT DAN EDMOND DANTES

(Setelah menonton The Count of Monte Cristo)

 

Malam itu di Tanah Perancis,

Laut Marseilles berombak.

Subuh itu di Tanah Melayu,

Selat Melaka berkocak.

 

Jebat,

aku beroleh kenikmatan dengan merancang perlahan-lahan

walau bisa kuhabiskan mereka semua

tetapi maut terlalu mudah dan murah

seperti mana yang kuulangratib di Chateau d’If

mengapa tidak kujemput sendiri malaikat mautku

dari hidup bagai pohon dengan akar beracun

tetapi tidak tumbang-tumbang.

 

Mereka, musuh yang tidak pernah kumusuhi

mesti juga meneguk sengsara sukma

membaca huruf derita yang telah kuhafaz

lalu dengan emas Spada kubeli sepulau dendam

kuaturkan semuanya dengan licik muslihat dan lihai samaran.

 

Apakah amukmu jalan pintas?

Segalanya berlaku terlalu pantas

apakah puas kaumembikin taufan buas

hingga akhirnya rajamu mengalah

masih mengharap tuah si Tuah.

Kaumemberi tafsir baru

kepada kata setia dan derhaka

tidakkah kauterfikir merancang sebijaknya?

 

Kini kutanyakan padamu

asal mula terzahir dendam dan berontak

apakah gelegak benci pada rajamu pawaka segala pawaka

atau kasihmu pada Tuah lebih besar dari seisi Melaka?

Aku mungkin tidak faham erti amuk Melayu

terlalu banyak ular melingkar di sarang hidupku

seperti Tuah, kukasihi Mondego bak saudara sendiri

kusangka diriku pelayar miskin melarat

tetapi tunangku, Mercedes jelita adalah umpan lazat

laut berahi Mondego bergelora

menenggelamkan makna kasih saudara

namun Mercedes hanya piala sementara

kerana kata Mondego, di kota Paris tiada erti setia

dalam kamus rumahtangga.

Di akhir cerita

aku hanya membunuh seorang Mondego

Chateau d’If memahat watak peribadi

khianat yang memamah jiwa

memamah juga belas insani

 

Jebat, aturkan satu-persatu

ajarkan rajamu mengenal putih, hitam atau kelabu

tuangkan kembali bisa ular ke lidah para menteri

ajarkan Tuah makna setia pada tempatnya

akhir sekali ajarkan dirimu makna menuntut bela

setitis aniaya selaut curiga

selaut darah rakyat Melaka.

 

Aku hanya seorang Count

bukan seorang wali

hujung pedangku tak mengenal syurga dan neraka.

tetapi darah di hujung Taming Sari

memercik, memadam kitab Tuhanmu.

 

Ajarkan dirimu makna usul-periksa

setitis curiga

menenggelami sekampung bukti nyata.

 

 

RAIHANI MOHD. SAAID

Kuala Lumpur 2006.


Othman Pendek: Bapak saya pesan, tidak boleh bermain-main sama-sama dengan budak perempuan...


Raja Hamidah : Aaah...itu semua karut!Inikan sekolah, mari main!


Othman Pendek: Waaaaaarghhhhh!

     -Pak Pandir Moden-

 


Posted at 12:38 pm by raihani
Comments (2)  

Tuesday, August 25, 2009
MENGENANG KAMPUNG SRI WANGI I

Begitu banyak drama disiarulang di TV sampai bergaduh-gaduh penonton mengirim komen, sama ada mengucapkan terima kasih atau menyatakan kebosanan yang amat kepada penyiar. Saya pula menanti-nanti bila penyiar ingin menyiarkan semula siri Kampung Sri Wangi yang nama asalnya ialah Syhhh dan kemudian ditukar ke Pi Mai Pi Mai Tang Tu, karya asal Hatta Azad Khan dan diarahkan oleh Hafsham. Yang ada disiarulang di TV9 baru-baru ini pun sudah dikira era baru, apabila semuanya sudah berpindah ke flat. Yang saya benar-benar teringin menonton semula ialah yang berlatarkan kampung, sewaktu projek Loji Penapisan Najis Majlis Kotaraya baru hendak didirikan.

                                               


Entri ini (dan beberapa siri entri lagi), saya akan bernostalgia tentang bahagian-bahagian dalam Kampung Sri Wangi yang saya masih ingat. Kali ini saya ingin mengimbau satu episod di mana Susan Lankaster menjadi penyelidik kesihatan dari WHO dan datang menjadi anak angkat di kampung tersebut. Okeylah, bila Minah Saleh datang ke kampung, macam-macamlah konflik nilai atau comedy of errors yang berlaku. Mula-mula, nama wataknya iaitu Janet ditukar kepada Jenab sebab orang kampung rata-rata payah nak menyebut namanya.

 

Tetapi bahagian yang saya suka ini ada kena-mengena dengan arwah MJ. Dulu masa menonton siri TV ini, saya sekitar 6-7 tahun, tak berapa cerdik dan tak berapa faham. Sekarang bila ingat-ingat kembali baru saya tergelak. Ketika Mat Deris mula-mula memperkenalkan Janet ini kepada Pak Busu, Mak Usu, Pak Uda, Mak Uda, Budin dan Maidin (lakonan arwah Sabtu Hussin), semuanya tidak tahu apa binatangnya World Health Organization itu.

 

Janet : I come from World… World…(membuat isyarat bumi yang bulat)

 

Mat Deris : (melihat orang kampung masih ternganga) Alright…alright…We are the world….!(menyanyi)

 

Pak Uda : (kepada Janet) Oh…penyanyi lah kamu ni?

 

P.Ramlee : Eh mak…sampai nak mandi pun kena beratur?

            -Seniman Bujang Lapok-

Posted at 12:13 pm by raihani
Comment (1)  

Thursday, August 20, 2009
ALANGKAH TAK BESTNYA...

Bukan saya tak pernah demam panas sebelum ini. Tapi bila diserang demam panas dan sakit tekak semasa sedang dalam pantang dan juga ketika musim flu menggila ini, pastilah saya tak senang duduk. Segala langkah berjaga-jaga saya ambil, termasuk meminimumkan sentuhan dengan Umar dan menjadi 'Zorro' kalau perlu mendukungnya. Pakar perubatan kata, walau bagaimana sakit sekalipun antibodi dari susu ibu perlu diberi kepada anak dan saya pastikan bekalan susu badan untuk Umar cukup. Syukur, dalam pada demam ini susu badan saya tak kering. Malah kalau tengok cara saya sediakan susu untuk Umar, orang ingat saya ni membela anak kembar!

Ketika sedang demam terketar-ketar ini, adalah juga jiran tetangga yang datang melawat. Mula-mula si jiran tanya khabar dan puji-puji anak kita comel. Lepas itu bila kita duduk tenang sikit, dia pun bawa keluar katalog ''Haa, akak jadi pembekal aksesori wanita...nak beli tak?''

Hampeh!

Abdullah Chik : Biarkan puaka itu makan kita di sini!
    -Jula Juli Bintang Tiga-

Posted at 12:46 pm by raihani
Comments (3)  

Saturday, August 15, 2009
PANTANG BERPANTANG

Masuk hari ini saya dah 15 hari dalam pantang bersalin. Saya pernah cuit-cuit di Facebook, mengapa bila menziarah orang bersalin, tetamu cuma beri buah tangan (selalunya sedekah atau barangan bayi) kepada si anak dan juga buah tangan berupa bahan makanan (yang tidak boleh dimakan oleh si ibu) kepada ahli keluarga yang lain.

 

Sudahlah si ibu jarang sekali mendapat apa-apa hadiah, yang membawa buah tangan tu boleh pula buat siaraya ‘’Haa, makanan ni kau tengok saja ya!Tak boleh makan tauuuu!’’ Oh, sungguh tak sensitif kepada si ibu yang terliur ni.

 

Ini bukan mengada-ngada atau cengeng. Ini juga bukan vokal atau mencetus revolusi, seperti komen sahabat-sahabat saya di FB. Apa benda yang revolusinya pun saya tak tahu. Ini cuma satu hal common sense, dicampur dengan timbang rasa. Kalau dah tahu si ibu tidak boleh makan sekian-sekian juadah, hadiahkanlah si ibu itu dengan benda-benda lain. Baju ke, minyak urut ke, pakej melangsingkan badan ke…hehehe! Teringat Kak Nisah, hadiah ideal ibu bersalin untuk orang ‘macam kami’ ni ialah tidak lain dan tidak bukan –BUKU.

 

Si ibu yang sudah bertarung nyawa melahirkan anak. Apa salahnya dia dihiburkan dengan sedikit tanda ingatan?

 

AR Tompel : Bukan saya yang nak kahwin dengan Safar…!

            -Ahmad Albab-

 

 

Posted at 12:31 am by raihani
Ada pendapat?  

Thursday, August 13, 2009
INTIFADA,YANG PERGI TAK KEMBALI

                                   


Saya tadinya berkira-kira ingin mencuit cerita Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, disulami kisah saya di dalam pantang ini.

 

Tetapi emel dari rakan RTM yang saya terima tadi (saya ni kiranya ‘alumni’ RTM kerana pernah bekerja 3 bulan dengan mereka) mengenai kepulangan ke Rahmatullah akan vokalis kumpulan nasyid Rabbani, iaitu Ustaz Asri sangat menyentak.

 

Saya teringat pada arwah Zairi dari kumpulan Raihan. Kami pernah berbual pada MPR 1997 mengenai asal usul  dan guraunya pada saya, ‘’Oh,sekampunglah kita ya!’’ (Kami sama-sama ada darah ‘Kuale’). Ingatan ini timbul kerana mereka berdua tidak menunjukkan tanda-tanda uzur.

 

Saya suka lagu-lagu Rabbani, vokalis Ustaz Asri yang meremangkan roma dan keberanian mereka membawa nafas segar kepada lagu-lagu yang mengajak ke arah kebaikan. Hingga saya pernah berangan-angan, kalau di zaman sekolah dulu muzik seperti yang dibawa oleh Rabbani ini sudah ada, pasti kami anak-anak muda akan lebih meminati nasyid. Allah itu Maha Berkuasa. Alfatihah!

Posted at 07:10 pm by raihani
Ada pendapat?  

Friday, August 07, 2009
BADRUL BAMBI DI YOUTUBE

Ini adalah hasil kerja blogger 5 bintang yang juga pemenang anugerah blogger terbaik Penulisan Kreatif Yoyooh.com, Saudara Ajami Hashim. Dalam pada saya sedang berpantang, rajin juga abang saya ni buatkan teaser untuk sebuah kumpulan cerpen. Jutaan terima kasih!Klik di bawah ini dan selepas sudi menonton tu, sudi-sudilah juga membeli bukunya ya!


Aziz Sattar : Inilah yang dinamakan three o'clock tango...
      -Pendekar Bujang Lapok-

Posted at 03:17 pm by raihani
Comments (3)  

Sunday, August 02, 2009
UMAR FIRAS

Saya pernah khabarkan di sini, saya menanti beberapa siri kelahiran dalam masa terdekat ini? Selepas novel ‘Ketika Trompet Bertasbih/Dram-Dram Cinta’ saya dengan DBP diwar-warkan akan menjenguk dunia, kumpulan cerpen 10+1 saya iaitu Badrul Bambi yang lahir dahulu. Novel dengan DBP tu bunting gajah agaknya…heheh!

 

Selepas selamat melahirkan kumpulan cerpen, saya melahirkan anak kedua saya pada 30 Julai 2009 bersamaan 8 Syaaban, jam 3.22 petang di Hospital Darul Ehsan, Shah Alam.

                        

                               Umar selepas diazan dan diqamatkan.

 

Terkejut?Ya, saya faham ramai juga yang terperanjat gila kerana saya tidak menghebahkan kehamilan saya kali ini di alam maya. Ada orang memang suka menjadikan blog atau FB mereka sebagai jurnal peribadi yang teramat peribody dan angkut habis segala cerita dan gambar tok nenek mereka untuk tatapan awam. Saya cukuplah sekadar memberitahu apa yang saya rasa patut. Saya tak rasa pun nak menjadikan blog ini atau FB sebagai jurnal kehamilan saya. Bagi saya kalau setakat nak cerita hari ini jumpa doktor, hari ini mengidam nak makan cucur badak, hari ini sudah mula rasa sakit perut…hehehe…itu mereka punya sukalah Labuuu!

 

Yang saya ingin kongsikan ialah saya melahirkan secara pembedahan sekali lagi. Kelahiran Rania dahulu disebabkan saya sudah overdue dan Rania pun agak besar – 3.2 kg. Anak kedua ini baru berusia 38 minggu dalam perut dan beratnya sekitar 2.75 kg sahaja. Tetapi terpaksa dikeluarkan kerana kedudukannya yang melintang dalam saluran rahim saya yang agak abnormal. Kata Dr.Zamri (doktor selebriti jugak ni,selalu keluar di TV) –‘’If you were to know what happen inside the operation room, we would not expect you to be able to get up so early!’’ Cara dia menceritakan yang dia terpaksa potong ekstra dan jahit ekstra perut saya serta menyeluk tangannya untuk memusingkan kedudukan bayi supaya normal…saya hanya mampu berlakon tenang dan selamba. Walhal teringin juga nak buat muka terkejut dan ngeri yang dramatik. Hahaha!

 

Saya juga sebenarnya tak menjangka akan mampu berdiri dan bergerak secepat ini selepas pembedahan. Kelahiran pertama dahulu saya hanya boleh dihantar pulang selepas 4 hari. Tetapi kali ini tidak sampai 48 jam doktor sudah lepaskan. Sesiapa yang menjalani pembedahan caesarean akan bersetuju bahawa cabaran ‘uchan dan nanchan’ yang paling hebat selepas ubat bius hilang ialah bergerak untuk duduk. Saya sendiri pun hairan yang saya boleh melakukannya dalam masa kurang dari 15 minit. Kemudian duduklah saya di wad itu sambil gelak-gelak bersama suami menonton siaran ASTRO yang tersedia.

 

Anak saya yang kedua ini seorang putera. Namanya Umar Firas.

 

S.Shamsudin : Haa, baru balik dari bawah pokok! Belajar dialog dengan Cik Salmah?!

            -Seniman Bujang Lapok-

Posted at 10:19 pm by raihani
Comments (6)  

Sunday, July 26, 2009
CUPLIKAN BADRUL BAMBI (I)

Maka bermula satu fasa baru dalam hayat saya sepanjang bergelar pengarah teater. Satu skrip yang akan disiapkan oleh pelakonnya sendiri! Ujar Tuan Penerbit, peran teraju akan dipilih melalui kekuatan lakon dan cerita yang paling menarik. Fasa ini penuh pergelutan. Akal saya terdera untuk memikirkan kemungkinan-kemungkinan, masalah demi masalah.

 

Sukar juga. Sebuah projek ‘tempahan’. Karya tempahan. Bererti otak harus diperah mengikut satu sistem yang ditetapkan dan ‘jus perahan’ otak ini harus memenuhi keperluan penempahnya. Sering terjadi karya-karya tempahan ini tawar, longgar, hambar, mengkal dan dangkal. Kelak sampai kepada khalayak, akan berdentumlah segala macam tembakan seperti ‘tema lapuk’, ‘plot longgar’, ‘aktor gagal hayati watak’, ‘mesej tidak sampai’, ‘percubaan pengarah kurang berjaya’, dan lagi dan lagi dan lagi…

 

Lalu tersimpullah dua perkara berbumbu moral:

  1. Kreativiti tidak seharusnya mempunyai dateline, dan
  2. Jangan terlalu kerap menghasilkan karya tempahan, hatta dalam bentuk surat layang sekalipun.

-PENTAS KIRANA-

 

 

‘’Puteri dikurung di balik tabir emasnya. Susahkah jelata, senangkah jelata, Puteri tidak tahu. Yang dia tahu, ayahandanya kekal berkuasa dan semua orang sukakan ayahandanya. Lebih-lebih lagi para pedagang. Pemimpin berkarisma! Membangun maju Gemalasari, dicemburui jajahan lain.’’

 

‘’Ops! Selalunya kepimpinan berkarisma tidak mencapai prestasi mengkagumkan. Dengar ini…’’ Saya menarik sehelai dari lambakan artikel di hadapan kami. (Wah, baru nak tunjuk serius!)

 

‘’John F.Kennedy acap kali disebut pemimpin paling karismatik dalam sejarah Amerika. Tetapi rekod kerjanya kurang memuaskan malah hampir mengakibatkan dunia dibaham perang ketiga. Buat pasal dengan Russia! Manakala pemimpin yang membosankan biasanya lebih cekap, lebih berdisiplin.’’

 

‘’Kata bekas pemimpin Thai, Anand Panyarachun: Charisma I would list as important.  The way you come across tv, the way you handle the press…the leader has to have the faith of the people. Mendiang Puteri Di dilabel sangat karismatik. Rekod kerja amalnya memukau dunia.’’

 

‘’Heh…rumahtangganya lebur! Akhirnya maut di hujung kamera and definitely the queen of my heart!’’

 

‘’Then who would it be? Monica Lewinsky?’’ Nisya menjuih bibir dan saya ketawa sebelum dia menyambung cerita.

            -CINTA DI GEMALASARI-

 

Habibie? ‘’Kekasihku’’ maksud namanya dalam lughatul Quran. Adakah dia boleh menjadi kekasih rakyat Indonesia yang makin terhimpit? Kabinet barunya bersih nepotisme Suharto. Dia bukan dari ABRI tetapi dia juga mendukung bayangan Suharto. Sumpahnya sumpah junjung Kitabullah. Dia seorang teknologis aeroangkasa yang masih samar masa depannya dengan Indonesia. Lapor media, Habibie belum ‘’khatam’’ berguru dengan Suharto. Atau boleh jadi Suharto yang tidak selesai mendidik Habibie memimpin Indonesia. Terlalu lama berkuasa mungkin menjadikannya tidak ‘’sempat’’ mendidik sesiapa. Okey, hari Suharto sudah sampai…

 

            Yang akan kubawa juga adalah cerita ‘’habibie’’ku. Katamu, seorang pemimpin lahir sebagai genesis yang menghairankan. Daripada seorang gelandangan yang tak punya apa, mereka boleh memegang tiga suku dunia.Junjungan kita pun sebagai pemimpin, banyak peristiwa ganjil mengiringi kerasulan baginda. Mengapa Allah melantik lelaki sahaja menjadi nabi dan rasul adalah satu keganjilan.

 

            Perempuan dengan segala ‘’masalah’’ fisiologi tidak memungkinkan mereka sentiasa dapat membaca wahyu Allah. Di dalam al-Quran juga ada surah khusus untuk perempuan tetapi tidak ada untuk lelaki walaupun ada surai yang dinamai nama lelaki. Hairan. Memilih pemimpin sesukar memilih lelaki sebagai ‘’habibie’’. Hal ini demikian kerana lelaki juga genesis yang menghairankan.

 

            ‘’Nik Putra tu buaya, Die-Da!!’’

 

            ‘’Daripada spesis terancam atau mengancam?’’

            -SURAT UNTUK RIS-

 

Roseyatimah : Itulah…jangan suka ketawakan orang. Yang ini bukan huruf M, ini huruf ‘kha’…

            -Pendekar Bujang Lapok-

Posted at 09:59 am by raihani
Ada pendapat?  

Previous Page Next Page