SET MY SOUL ALIGHT







raihani
June 12th 1979  (Age 30)
Female
Malaysia
Sedang memulihkan Permanent Head Damage di UPM dalam bidang Drama Dalam Pendidikan. Suka puisi, suka karya kreatif, suka filem. Baru melahirkan kumpulan cerpen 10+1 bertajuk BADRUL BAMBI.
   

<< November 2008 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30

Kumpulan cerpen BADRUL BAMBI boleh dipesan dengan menghantar emel ke badrulbambi@hotmail.com ataupun deppviggo@yahoo.com.Harga senaskhah,termasuk kos pos ialah RM20.00 Sedang Baca : Projek 238(BH Amir) Baru Tonton: Setem Jumpa saya juga di facebook,taip Raihani Mohd.Saaid
Free ebay counter

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Friday, November 28, 2008
STUDIO@MAKMAL KERJA KREATIF

Nazmi,aku telah menyahut seruan tag engkau untuk memaparkan meja kerja kreatif aku di sini. (Eh,tag dalam BM apa haa?)

Saya pernah tulis yang ruang kerja saya sebagai seorang penulis/orang 'sekolah' tak pernah benar-benar kemas dan rapi. Lebih-lebih lagi bila sedang menyelesaikan sesuatu tugasan besar. Ruang kerja yang saya panggil studio ini hanya benar-benar tersusun kemas bila mentua saya datang buat spot check kot.Hahaha!

      
Ini meja kerja saya di rumah. Di sinilah saya 'mentenet', menulis, memasang DVD, memasang video klip nursery ryhme untuk anak dan main game. Lampu terendak yang besar di tepi tu hanya digunakan untuk tujuan estetik. Bukan saya pasang pun. Hahaha! Barang-barang yang mesti ada kalau saya berhibernasi di meja ini ialah kamus (Dewan dan dwibahasa), segala macam wayar dan kabel, CD kosong untuk 'bakar' apa-apa dan kalkulator. Dulu saya punyai kerusi pejabat yang lebih sesuai digunakan bila nak duduk lama-lama. Tapi kerusi itu pun dah patah (seiiring dengan pertambahan berat badan saya...hehehe), saya pun guna kerusi mmeja makan buat sementara yang dilapik dengan kusyen.

        
Ini salah SATU dari rak buku di rumah saya (di pejabat ada lagi!). Oleh sebab saya ni ada anak kecil, maka rak buku ini pun kenalah kongsi dengan soft toys si anak.

        
Ini pula kutub khanah Mama di Shah Alam. Ini pun SALAH SATU dari rak buku yang ada di rumah itu. Dalam punyalah banyak buku ni, Mama tetap boleh perasan kalau ada satu bukunya yang tiba-tiba ghaib. Saya punya kerjalah tu!

       
Buku di mana-mana.Rumah penulis selalunya lebih banyak buku dari kain baju. Ini rak buku yang ditempatkan dalam bilik utiliti bersebelahan dapur rumah kami. Kami turut menyimpan koleksi Dewan Sastera dan Dewan Budaya dari tahun 70an dulu, jurnal dan keratan akhbar yang berkenaan.
       
Buku lagi...dan lagi. Ini pula almari buku di ruang tamu tingkat atas. Cerek eletrik dan balang kuih yang ada tu khas untuk 'kami-kami' yang dah malas nak turun ke dapur tapi masih nak mencekik semasa menonton tv.   

Mungkin saya patut tunjukkan  di ceruk mana dalam rumah saya yang TIDAK ADA BUKU.

Mustarjo    : Apa yang aku baca dan apa yang kau baca?Aku tak ajar ini semua mambang bujur...mambang persegi...mambang melintang!
    -Pendekar Bujang Lapok-

Posted at 10:49 pm by raihani
Ada pendapat?  

Tuesday, November 18, 2008
HAKIKAT KAWEN-KAWEN

Artikel saya ini pernah tersiar dalam majalah InTrend isu Oktober 2005, muka depannya Mawi tersengih pakai kot. Tajuk asal artikel ini 50 Hakikat Pasca Bulan Madu Tentang Lelaki (Yang Wanita Perlu Terima). Sempena musim ‘kawen-kawen’ ni, saya pilih yang meletup untuk dikongsi dengan anda semua. Setuju atau tidak, ini artikel saya, Labuuuu!

-          Anda bermadu dengan kereta / motornya.

-        Dia seorang sports freak. Selepas kahwin, dia masih seorang sports freak; di depan televiyen.

-   Kerana dia seorang sports freak, perutnya six-packed; ‘berpetak enam’. Selepas kahwin, perutnya berbonjol enam.

-        Dia simpati bercampur takut mengenangkan anda harus lalui proses bersalin Tetapi selepas beranak satu, jadual bersalin anda sama padat dengan tempahan konsert Mawi .

-     Sampai bila pun lelaki tak akan faham bahawa setiap wanita adalah Imelda Marcos dalam skala kecil.

-       Keretanya berhabuk secuit, dia akan mandikan dengan penuh kasih mesra. Bilik air berkulat? Tahun depan pun boleh basuh…

-   Baby, Darling dan Honey berganti dengan ‘’Woi’’ , ‘’Hmm…’’ dan ‘’Haa, maknya?’’.

-    Berjaga malam untuk tengok bola tidaklah memenatkan seperti kena tukar lampin anak.

-      Hanya waktu bersanding dia akan berbaju sedondon dengan anda. Selepas itu, kalau ada persamaan sikit pun dia akan berjalan jauh-jauh. Takut ada tauke ekspo minta main boria agaknya.

-   Bertahun-tahun dia berdikari sebagai orang bujang dan bangga dengan hakikat itu. Selepas kahwin, ‘seluar kecil’nya anda basuh dan dia bangga dengan hakikat itu.

-    Letaklah meriam di sebelah telinganya, dia tetap akan melingkar di katil. Tetapi cuba beritahu yang kawannya datang nak ajak tengok bola / memancing, dia akan bangkit segar-bugar.

-    Jangan suruh dia buang sampah bila dia sedang menonton siaran langsung Formula One.

-     Anda minta sedikit dana untuk ‘pengstrukturan semula’ badan anda di jimnasium. Dia suruh anda lari sahaja keliling rumah sambil menjunjung batu giling.

-   Setiapkali melalui kedai emas / kedai beg tangan dengan anda, tiba-tiba dia ternampak ‘toyol dan hantu bungkus’. Sebaliknya, ada ‘bidadari’ melambai-lambai dari kedai gadget kegemarannya.

-    Walau setinggi mana sayang dan hormatnya dia kepada ibu bapa anda, jangan sesekali bingkaikan potret mereka sebesar-besar alam dan letak pula di tepi katil.

-    Dia mencintai dan menerima anda seadanya. (Tetapi Angelina Jolie tetap wanita paling gorgeous di dunia).

Siti Tanjung Perak : Aku jugak keturunan Nabi Adam…laki jugak keturunan Nabi Adam…anak aku jugak!Kau apa?

Saamah         : Aku cucu Adam!

            -Bujang Lapok-

Posted at 07:23 pm by raihani
Comments (2)  

Wednesday, November 12, 2008
JUJUR BUDAK KELANTAN

Mukadimah – Saya ada ¼ darah Kelantan dalam badan ni. Ayah saya dan susur galurnya ke atas memang orang Perak asli, orang Kuale. Tapi susur galur ibu saya agak menarik. Ibu saya orang Kedah, arwah nenek saya orang Telok Panglima Garang, Selangor manakala moyang saya orang Kelantan. Namanya Che’ Fatimah dan pernah berkahwin dengan Sir Henry Eckhardt, penasihat Inggeris Sultan Kelantan ketika itu.

Sekarang baru saya nak cerita pasal filem Budak Kelantan, arahan Wan Azli Wan Jusoh yang merupakan salah seorang dalam lingkaran kawan-kawan saya semasa di ASK dulu. Sekitar tahun 2006,saya bersembang dengan Kak Lenny.Dia cakap pasal suaminya yang tercinta bekerja untuk produksi filem Koya Best. Kata Kak Lenny, ‘’Tengok la,  Rai. Filem Wan Azli mengarah, Asrul(faizal Kamarulzaman) berlakon jadi second lead’. Lebih kurang setahun lepas itu, saya jumpa ‘Encik’ Asrul sedang minum-minum di kafe bawah Pusat Kebudayaan, UM. Saya usik ‘bila Koya Best nak keluar?’ sambil melonggarkan tali leher di kemejanya,  dia menjawab ‘Tak payah tengoklah,  Rai! Dia cakap sambil gelak-gelak. ‘Pesanan’ Asrul tu saya langgar- saya pergi tengok juga filemnya. Teruja juga tengok puak-puak ramai dalam tu-Ayie,Along,Samoza pun ada. Saya tunggu sampai kredit dan nampak nama 2 beradik-Fikar dan Zamri yg merupakan mantan ahli percussion pancaragam SMSSAAS.

Saya tak akan menulis tentang aspek perfileman yang lain atau menggali apa jua metafora yang ada dalam filem Budak Kelantan (BK). Saya tidak akan menghurai lebih lanjut aspek watak hitam putih dalam BK kerana bagi saya, Wan Azli meletakkan manusia di dalam grey area. Itu hakikat dan saya juga bersetuju dengan hakikat itu. Saya cuma ingin menyatakan sejujurnya apa yang saya suka tentang BK. Tidak lebih dari itu. Yang saya suka ialah bahasa Kelantan dalam BK tidak digunakan sebagai decorum semata-mata. Bahasa Kelantannya bukan aising atas kek, bukan nyok atas buah Melaka, tetapi memang berfungsi sepenuhnya untuk menyampaikan cerita. Dan itulah yang mengikat saya sampai wayang habis.

Saya akan ingat pada adik-adik saya di UM- Zamri,Rizuan, Alif,Sabri, Rokiah, Nida, Nik dan Faiz. Saya akan teringat pada anak murid saya di UPM-Judean,Juki, Rosdi dan Hasrul. Saya juga akan teringat pada Bet. Sepanjang menonton BK, saya tanya diri sendiri – betulkah aku tengah tengok wayang ni? Saya merasakan seolah Jaha dan kawan-kawannya betul-betul ada di depan saya manakala skrin wayang tu cuma pemisah yang amat nipis. Tiada dialog-dialog jiwang karat, bahasa yang cuba dibakukan atau cakap campur-campur BM-BI yang memualkan itu.

Tiada dramatisasi dan tiada percubaan menjadikan satu watak itu the odd one out dgn memberi loghat berbeza. Dalam Ali Setan contohnya ada watak ini pada (Datuk Raja) Shah Rezza dan apalah nama pelakon yang cakap Kedah tu. Watak Awie dalam Apa Kata Hati cakap loghat utara tapi masih nampak fungsinya ialah decorum supaya orang gelak. Dr.Samat Salleh dan Pak Pie walaupun betul laras bahasa mereka (sebab mereka asli orang ‘sana’), saya tetap rasa mereka ini berfungsi decorum. Jogho di tangan U Wei pun rasanya tidak real macam ini. Mungkinkah kerana yang berlakon itu rata-ratanya ‘orang luar’? Atau ketika menontonnya 10 tahun lepas, saya yang bengong tak faham?

Ada pelajar saya yang merasa dirinya terhina sebagai orang Kelantan selepas menonton BK. Ada pelajar saya yang cakap, menonton BK ni macam menonton filem asing dan penat nak tengok sarikata. Itu kau orang punya pasallah, Labu! Yang saya nak tegaskan di sini- BK ialah satu filem yang dibikin oleh orang yang ‘reti bahasa’. Terima kasih Saudara Ajami yang promo habis-habis (I promo you balik!Hehe!) Syabas Saudara Wan Azli. Syabas juga untuk Asrul! Sorry, aku langgar pesanan kau tu sebab aku nak puji kau kat sini selepas bertahun-tahun kita mengaji sama dulu!

 Along Eyzendi : Tok Amarekalah saing denge budok ssejid!

            -Budak Kelantan-

Posted at 11:31 pm by raihani
Comments (11)  

Saturday, November 08, 2008
BERCAKAP-CAKAP DALAM TV

Ada bualbicara yang hosnya sangatlah menguasai rancangan. Sepatutnya dia  tak payah panggil tetamu yang selalunya lebih dari seorang,tak payah terima panggilan telefon sebab hanya dia yang bercakap. Sedangkan fungsi rancangan ini ialah untuk bertukar-tukar fikiran.Yang terjadi ialah hanya fikiran dia saja yang kita kena dengar. Rancangan mana yang saya maksudkan? Fikirlah sendiri tuan-tuan, puan-puan, hadirin yang saya hormati sekelian!

Saya suka Latte, rancangan terbitan 8TV kendalian Jason Lo. Jangan kata saya tak patriotik dan tak Islamik sebab suka tengok Latte.Pak Samad (SN Datuk A.Samad Said) pun pernah muncul dalam Latte. Daripada situ baru saya tahu Pak Samad ni biasa masuk menyanyi di Bintang Radio Singapura dan lagu kegemarannya ialah Dewi Manja (Sam Saimun kalau tak silap).

Kenapa ada jurang yang sangat ketara dalam kebanyakan rancangan bualbicara Bahasa Melayu? Tidak mahu bandingkan dengan rancangan luar negara ya! Saya tidak kata semua tetapi kebanyakan. Kalau serius,serius sangat topik dan nuansa pengacaraannya. Baik topik agama,politik, ekonomi mahupun akademik. Kalau dah santai tu panggil artis-artis,cakap jerit-jerit,takde isi malah kadang-kadang sampai ke tahap bangang. Saya secara peribadi suka Wan Chik Daud dan arwah Nurnikman Dadameah kendalikan Selamat Pagi Malaysia lebih kurang 20 tahun lepas. (Erghh..nampak sangat saya dah tua!). Aziz Desa pun saya suka.Faham topik, kenal tetamu dan nampak semulajadi.

Pernah sekali dalam tahun 1999,saya dan Mama diundang secara langsung ke Selamat Pagi Malaysia untuk mempromosi diri sebagai 'orang sastera'. Malang sungguh kerana kami dapat pengacara yang harap mekap saja tebal tapi nipis pengetahuannya. Barangkali dia sekadar mengikut arahan penerbit-bercakap saja,tanya apa saja dengan tetamu, tak ada masa barangkali nak buat kerja rumah. Tetapi dia nyatalah tak berapa kenal dengan kami…sudahlah penulis ni memang tak berapa terkenal. Buktinya, semua soalan skema ala-ala 5W1H yang ditanya pada Mama dan tidak boleh connect langsung dengan topik pagi itu. Saya pula tak henti-henti dipanggil 'Puan Raihani' walhal saya masa tu baru 19 tahun, boyfriend pun tak ada lagi…ewah ewah!

                         
Ini merupakan rancangan talkshow paling hebat dikendalikan oleh mentor-mentor
MPR 2006
. Antara saya, Kak Nisah, Ustaz Zaid dan Abang Lutfi-siapakah yang paling memberi perhatian kepada Abang Sham Aljohori yang bertungkus-lumus berbicara?Hehehe!

 R.Jaafar : Kau akan tidur di atas tilam…yang mengikut gerak badanmu…dan akan memantul kembali mengikut bentuk asal!
                 -Si Badul-

 

Posted at 02:25 pm by raihani
Comments (7)  

Sunday, November 02, 2008
TAJUK ALTERNATIF DM KE QM

Perkara yang lazim dalam dunia persuratan di mana-mana sekalipun ialah pertukaran tajuk karya yang diusulkan oleh penerbit. Saya pun terlibat dalam 'ini gambar'. Kali pertama pada tahun 1997, cerpen Badrul Bambi di Dewan Siswa. Arwah OP minta tukar tajuknya dari Badrul Bambino, dia suruh buang 'no' tinggal Bambi saja. Okeylah, meletup juga cerpen tu. Hehehe!

Untuk kali kedua ni, manuskrip novel pertama saya, Dari QM Ke DM, yang menang hadiah saguhati pertandingan DBP tahun lepas pula diusulkan pertukaran tajuk. Sedikit info, novel ini dikembangkan dari skrip filem pendek saya yang bertajuk Budak Pancaragam (tiada kena mengena dengan Budak Kelantan!). Skrip ini menang pertandingan anjuran FINAS pada tahun 2001. Kemudian, sekitar tahun 2004 saya mula mengembangkan idea skrip ini kepada novel remaja. Kisah budak pancaragam. Sekali saya ulangi-novel ini mula ditulis pada tahun 2004 selepas dikembangkan dari skrip filem saya yang dihasilkan pada tahun 2001.

Tahun-tahun yang saya tegaskan di atas PENTING. Setidak-tidaknya, penting bagi saya. Jika panjang umur ada rezeki novel ini menemui pembaca (jika ada yang sudi membacalah!), saya telah menyiapkan diri. Novel ini ada sedikit unsur yang mungkin sama dengan sebuah lagi novel remaja top oleh seorang penulis top masa kini. Tapi, dia memang dah top. Siapalah saya…baru nak menulis satu novel. (Nissa', ini bukan iklan sabun pencuci Top ya!) Nak tahu apa unsurnya,kena bacalah nanti.

Maka apakah tajuk yang sesuai untuk diusulkan sebagai gantian kepada Dari QM Ke DM? Nota: QM ialah Quarter Master iaitu anggota yang bertanggungjawab menjaga hal lojistik dalam pancaragam manakala DM ialah Drum Major, pemimpin pasukan. Jadi, apa tajuk yang wajar? Akustika Rindu, bak kata Zaid Akhtar? Di Hujung Trompetku Cinta Berbunga? Kasih Drum Major Yang Terakhir? Dram-dram Cinta? Hehehe! Jemput memberi cadangan!

A.Rahim : Ini siapa daa main seruling ni?Memekak je…!

Ali Fiji : Entah…sumbaaaaang je aku dengar!

            -Pendekar Bujang Lapok-

Posted at 09:59 am by raihani
Comments (12)  

Saturday, October 25, 2008
PETUA CANTIK YANG TAK CANTIK

Membaca petua kecantikan (kaum wanitalah!) di media cetak memang seronok juga. Tetapi kalau petua itu sangat umum contohnya mesti bersenam,menjaga makan,banyak makan sayur/buah,buat rawatan di salun, ia sangatlah membosankan. Ini saya boleh kutip dari mana-mana buku sekolah.Artikel itu pun jadi tidak menarik. Yang saya suka baca dan nak tahu ialah petua yang lebih spesifik,yang mungkin tidak dapat dari mana-mana buku kesihatan.

 

Contohnya, Seniwati Dato’ Sarimah menggantikan santan dalam masakan gulai dengan susu soya rendah lemak. Malah saya pernah terbaca, beliau sengaja diuji oleh seorang peminatnya yang menjamu beliau makanan-makanan yang pantang dimakan oleh orang yang memakai susuk. Tetapi orang yang nak menguji itu khabarnya menyesal kerana seniwati pujaan ramai itu makan dengan bersungguh-sungguh tanpa ada benda-benda pelik tersembul dari mukanya. Ataupun  menggunakan garam sahaja buat mengganti scrub (saya cuba dan hasilnya memang baik,murah lagi). Atau petua Profesor Diraja Ungku Aziz yang makan kurma 4 biji tiap-tiap pagi serta tidak mengenal nasi lemak dalam kamus dietnya.                                   

Saya 'bertungkus-lumus' mencantikkan pelajar saya,'Sherry Lily' semasa sesi fotografi Melati & Melur. Hehehe! Ini cat ka kapur? Bedak....tuan!

 

Salah seorang ibu saudara saya tabiatnya ialah membasuh bilik air atau mencuci kereta selepas makan tengah hari. Paling tidak pun dia akan menggosok baju barang 2,3 gerobok sebagai pembakar lemak. Bercerita pasal gosok baju ni, saya adakalanya guna seterika mengganti tungku apabila rasa sejuk-sejuk badan. Nak cari tungku entah di mana,silap-silap saya tak kenal pun. Jadi gunalah seterika. Caranya ialah panaskan sekejap seterika tu, balut dengan kain batik dan tuamlah ke anggota badan yang sejuk dan lenguh. Sebenarnya petua ni mak saya bagi, sebab dia ‘cemuih’ tengok saya merengek-rengek sakit perut masa senggugut. Orang lain yang tak biasa tengok mesti ingat saya jadi mangsa dera!

 

Paling meloyakan bila ada yang cakap petua cantik ialah selawat. Selawat ni dah overrated dan mungkin boleh sampai ke tahap disalahguna. ‘Saya berselawat tiap-tiap pagi mengadap cermin’, kata seorang artis wanita cantik ni sedangkan dia baru saja ditangkap kerana mabuk di disko. Macam itu senanglah saya nak cantik,tak payah basuh muka,tak payah mandi Cuma baca selawat saja. Atau orang cakap,yang penting cantik dalaman,hati kena bersih barulah cantik di luar. Dia faham ke hati nak bersih itu macam mana? Pakai kloroks ke? Bagi saya,selawat itu bukan diguna untuk mencantikkan wajah semata-mata. Orang yang faham amalan selawat sudah tentu orang yang akhlak dan gaya hidupnya cantik,di mata Allah. Dan dia tak perlu beritahu orang pun yang dia amalkan selawat untuk cantik.

 

Jangan hipokrit. Bagitahu sajalah krim apa yang anda pakai.bedak sejuk apa yang anda tempek,berapa pusingan anda jogging satu hari,salun mana anda kunjungi.Saya pun manusia biasa yang sentiasa ingin membaiki penampilan.Ini semua sunatullah,mesti mandi untuk bersih,mesti makan untuk kenyang. Mana boleh pakai doa saja.

 

AR Tompel : Ini Safar? Cantik…macam bulan!Tapi gerhana!

            -Ahmad Albab-

Posted at 11:09 pm by raihani
Comments (5)  

Thursday, October 16, 2008
MENCARI GADIS MELAYU?

Berhubung satu program tv 'mencari gadis Melayu' -Cukup Melayukah anda dengan berbaju tradisional,jalan tertunduk,duduk bersimpuh,makan dengan tangan,pakai songket,menyanyi lagu asli,bersyair dan berzanji? Pencarian Melayu sekadar bersifat fizikal ini agak meloyakan saya sebenarnya.  Katakan gadis Melayu ini menang pertandingan mencari Melayu, mana hala tuju mereka selepas itu? Terus melayu atau menyegar?  Mungkin pertandingan ini satu nama lain bagi Ratu Cantik? Atau satu temuduga  berminggu-minggu mencari wartawan penyiaran? Mungkin mereka ada dapat hadiah duit sikit, bolehlah beli rumah. Sebut pasal rumah, bolehlah klik di sini untuk berkongsi cerita.


Tak  cukup Melayukah saya kerana lebih suka pakai jeans,bawa beg silang dan jalan macam ah long nak kutip hutang sambil gelak macam ada mikrofon di mulut? Tak cukup Melayukah saya kerana tak punya suara yang sedap untuk bersyair dan berzanji serta tidak bercakap dengan suara lembut mengucapkan kata-kata (skrip sebenarnya!) yang berbunga-bunga? Melayukah Shah Rukh Khan sebab dapat kurnia gelaran Dato' dari negeri Melayu yang sudah tidak lagi bersultan Melayu?

 

Itulah,bila hanya faham dari aspek fizikal,kita akan jadi hipokrit. Kalau betul Melayu,cubalah jalan-jalan di KLCC pakai cucuk sanggul dan kain sibai tutup muka. Atau naik LRT pakai tanjak bawak keris mengganti hp. Koman-koman pun kalau ada kes ragut dan seluk poket boleh juga tolong membasmi jenayah. Saya pun kalau ada kamera mengekor sepanjang masa nak tak nak mestilah control ayu. Setakat tahu menyanyi lagu asli atau bersyair tapi tak faham apa falsafah sastera tradisional, tak faham apa puitika Melayu, baiklah pergi masuk  karaoke peringkat ketua kampung.

 

Tanyalah anak murid saya betapa susahnya nak tengok saya berbaju kurung, kecuali waktu ada mesyuarat jabatan/menziarah orang mati. Pergi beraya/kenduri kahwin pun saya boleh pakai jeans lagi. Tanyalah ahli keluarga saya betapa susahnya saya nak mencari baju raya bersifat tradisional. Satu sebab saiz. Dua,sebab saya tak suka pakai sama macam orang yang banyak. Saya punya badan,saya punya sukalah.

 

Saya pernah tulis tentang budaya pelawa. Saya diajar supaya jika ada sesuatu yang boleh dikongsi,maka kongsilah dengan orang. Lebih-lebih lagi makanan,jangan tunggu sampai dia kempunan. Kalau ada kemampuan fizikal dan tengok orang angkat beg berat,cepat-cepat tolong orang tu.Jangan tunggu dia minta tolong atau paksa anda memberi pertolongan. Pegangan saya yang sebegini rupanya disindir oleh seorang hamba Allah ni,katanya saya terlalu mementingkan adat kemelayuan. Seolah-olahnya kemelayuan itu sesuatu yang kolot dan mengekang kemajuan hidup,tidak hip dan tidak cool. Ini satu lagi tuuur!

 

Bukan senang nak menjadi Melayu sebenarnya.Tapi nak menunjukkan yang saya ni Melayu pun tak susah sangat.Nah, tengok saja kad pengenalan atau surat beranak saya.Kah kah kah!

 

P.Ramlee      : Apa yang kau tiup? Itu ball pen!

            -Tiga Abdul-

 

Posted at 11:57 pm by raihani
Comments (12)  

Thursday, October 09, 2008
BERAYA DALAM RANCANGAN TV

Percayalah, bukan saya sahaja malah anda juga pasti 'muncul' dalam beberapa episod program TV di bawah sempena hari raya ini!

 

Impak Maksima vs Rempit – Untuk yang memecut di jalan raya macam dia seorang saja yang ada kampung.

 

Jejak Kasih – Pertemuan semula dengan ahli keluarga/sahabat handai yang sudah lama terpisah, dalam suasana sayu dan mengharukan.

 

Pi Mai Pi Mai Tang Tu- Lebih kurang macam Jejak Kasih, tetapi ini suasananya lebih ceria dan kecoh. Bila pergi beraya balik-balik jumpa muka yang sama, duduk bergebang dari pagi sampai petang.

 

Forum Perdana campur Halaqah – Di hari baik bulan baik ini, pasti ada acara tazkirah dan saling menasihati sewaktu bermaafan. Tazkirah juga boleh diaplikasi untuk mengawal nafsu berbelanja,nafsu makan dan perangai anak-anak waktu beraya di rumah orang.

 

Kancheong Kitchen campur Bersama Chef Wan – Bagi yang biasa masuk dapur waktu raya ni, okeylah. Tapi bagi yang pertama kali masuk dapur terutamanya secara tak berapa rela, pastilah kitchen disaster tak dapat dielakkan. Hendak pulak ada Iron Chef (biasanya mak mentualah) yang memantau di tepi belanga.

 

China Pappa Periya Pappa- Ingat lagi drama Tamil tentang mak mentua dan menantu perempuan yang tak sebulu tetapi dapat bersekutu dengan baik apabila datang masalah dari luar?

 

Martha Stewart – Waktu untuk menunjukkan kemahiran menggubah bunga, menyusun sudu garpu dan mengubah rumah menjadi galeri seni yang tip top untuk tatapan tetamu. Sambil beraya, sambil membuat demonstrasi kraftangan gitu!

 

Casa Impian – Biasalah, kediaman bertukar rupa sempena hari mulia!

 

Amazing Race – Selain terkejar-kejar membeli persiapan raya di saat terakhir, Amazing Race juga diaplikasi bagi mencari petunjuk ke rumah Tok Wan atau Pak Long yang entah di mana sebab kita menziarah mereka entah berapa tahun sekali. Itupun sebab ada desakan dari pucuk pimpinan serta akar umbi.

 

Survivor – Apa motifnya sampai 2 sekali RNR di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup waktu kemuncak orang balik dari beraya? Saya kalau dari Sungai Petani nak balik ke KL selalunya ambil masa 4-5 jam. Tetapi raya kali ni sudah 6 jam berkereta baru sampai Ipoh! Akhirnya kami sekeluarga ambil keputusan untuk berhenti cari hotel di sekitar Ipoh, rehat semalaman barulah meneruskan perjalanan esok paginya. Terima kasih untuk Nissa' dan Kerd sebagai ejen maklumat.

 

Untuk mereka yang tangki minyak keretanya memang sampai masa minta diisi, yang memang tak tahan nak ke tandas atau yang memang kelaparan sambil mengharapkan untuk berhenti di RNR yang ditutup tadi, memang saya sangat simpati dengan anda! Jadi, selamat berSurvivor!

 

Gangstarz campur Akademi Nasyid – Hari raya juga waktunya untuk si kecil menunjukkan bakat membuat bunyi-bunyian sama ada yang harmoni ataupun yang lari pitching, sama ada secara solo atau berkumpulan apabila menziarah rumah orang.  Adik saya, Ninja entah apa cerita di pagi raya dia sempat lagi basking di tepi Sungai Perak waktu balik ke kampung Abah. Tapi tak ada pulak orang nak bagi duit hatta sekupang.

 

Desperate Housewives – Saya percaya semua isteri/ibu di pagi raya akan muncul dalam siri ini, sebagai pelakon utama. Terkejar sana,terkejar sini. Kalau ada yang boleh muncul sekadar sebagai cameo saja, memang ajaiblah.

 

Project Runway – Ibu mertua saya tiap-tiap kali menjelang raya,pasti akan buka kedai tailor kerana ada saja kain baju yang disua anak menantu. Yang ketat, yang longgar, yang tercabut butang dan macam-macam lagi. Saya sendiri kali ini ada tertinggal beberapa item dalam 'pakej' busana raya lalu terpaksalah membuat improvisasi kostum, macam Project Runway itulah. Kemudian bila dah siap, kami semua buatlah jalan kucing keliling rumah menayang baju.

 

Battlestar Galactica – Peperangan penuh gegak gempita dan berkilai-kilau melibatkan lampu lip lap,panjut, bunga api, mercun katak dan meriam kabaid.

 

Siti Sifir- Untuk mana-mana Siti yang mencongak sifir baki akaunnya selepas raya yang hampir-hampir sifar!

 

Zahara Agus : Saya kasi duit sama si Jamil suruh buat 7 hari 7 malam…kenapa buat 3 hari 3 malam saja?!

            -Madu Tiga- 

Posted at 08:28 pm by raihani
Comments (6)  

Monday, September 29, 2008
REALITI RAYA

(i)

Di sela-sela persiapan raya, ada juga hamba Allah yang sudi membuat lawak untuk saya dan rakyat Malaysia yang lain iaitu –harga minyak TURUN 10 SEN dan mana-mana umat di Malaysia ni yang mengalami kecacatan fizikal akibat bermain mercun patut dilatih sebagai ATLIT PARALIMPIK bagi memeriahkan lagi kontinjen paralimpik negara.

 

Saya pun hampir-hampir mengalami kecacatan tali pusat akibat ketawa terlampau banyak.

 

(ii)

Sekian banyak rancangan dan iklan TV (kecuali beberapa iklan yang ‘berjenis’) memaparkan realiti sambutan raya yang sangat tebal dengan kosmetik. Antaranya-

 

1)                 Bukan semua orang pulang ke kampung menyambut raya dengan berpakaian baju kurung/baju Melayu lengkap. Saya sendiri kalau travel balik kampung pakai t-shirt dengan jeans koyak saja.

2)                 Perjalanan sangat ceria,boleh nyanyi-nyanyi lagu raya dan melambai sini sana walhal hakikatnya perjalanan kita penuh dengan tekanan, kesesakan, kesibukan dan ketirisan pahala puasa yang mungkin berlaku sebab mulut kita ‘terlebih mesra’.

3)                 Selalunya dalam TV, para perantau di kota ni pulang ke rumah kampung dengan tangga a la rumah Melaka dan punya halaman luas dikelilingi segala macam kebun dan sawah. Macam mana dengan saya yang ‘balik kampung’ itu bermaksud pulang ke taman perumahan yang kiri kanannya ialah bangunan komersil termasuk hotel dan pasaraya?

4)                 Betulkah setiap kali pulang ke kampung, yang menyambut kita ialah sanak saudara yang sedang mengacau dodol di laman dan menganyam ketupat di serambi? Yang selalu menyambut kepulangan saya ialah adik-adik yang terbungkang depan TV, ibu yang sedang menaip di laptop dan ayah yang sedang memainkan cd ceramah agama dengan projektor.

 

Walau apa pun yang saya bebelkan di atas, ini tidak akan menghalang kita semua untuk menyambut Aidlfitri dengan ceria, aman dan selesa. Moga Allah mengampunkan saya kerana terlalu banyak urusan duniawi yang saya buat di bulan Ramadan hingga terasa sangat kurang ibadat yang lain. Saya berdoa moga kesibukan saya 2,3 minggu ini menguruskan hal-hal rumah dan akademik demi kelangsungan hidup juga boleh dikira sebagai ibadat. Untuk semua, minal aidil walfaizin. Maaf setulus hati.

 

S.Shamsudin           : Orang-orang yang tidak mahu menonton filem ini, hidupnya tak cukup syarat. Tak lama matilah dia!

            -Tiga Abdul-  

Posted at 12:54 pm by raihani
Comment (1)  

Sunday, September 21, 2008
KARUT-MARUT TARIKH KAHWIN

(I)

Saya tidak akan update blog ini sekerap dulu. Ini bagi amaran siap-siap. Hahaha! Sekarang saya sedang mengendalikan beberapa tugasan besar yang sangat menuntut masa dan tenaga.

 

Nak hidup punya pasal!

 

(II)

Saya pernah bercakap dengan beberapa orang tua yang berpendapat bahawa adik beradik TIDAK ELOK atau TIDAK BAIK bernikah pada tahun hijrah yang sama. Atau dalam erti kata lain, mak ayah TIDAK ELOK terima lebih dari seorang menantu dalam tahun hijrah yang sama. Adik beradik kembar juga dilarang naik pelamin serentak, dikhuatiri rumahtangga tidak bahagia. Larangan ini diulang-ulang supaya menjadi satu kepercayaan. Jadi, saya nak tanya, siapa yang asalnya ‘cerdik’ sangat buat kepercayaan seumpama ini?

 

Setakat pengetahuan yang ada pada saya yang hina dina ini, belum lagi saya jumpa nas atau dalil yang mengabsahkan perkara di atas. Saya boleh wajarkan sendiri secara logik bahawa kenduri kahwin itu satu hal yang besar. Banyak kerja nak dibuat, banyak nak pakai tenaga, masa dan wang ringgit. Nak kumpulkan saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga untuk bekerjasama membantu kenduri bukan satu kerja mudah. Soal jemputan pula satu hal lagi. Ahli keluarga yang otai dan agak berpengaruh dalam keluarga, misalnya bapa atau ibu saudara pengantin yang paling senior mesti dijemput secara peribadi, biarpun yang menjemput duduk di Melaka dan yang dijemput duduk di Pulau Pinang. Kalau kenduri di hotel, berbulan-bulan sudah kena sahkan seating. Lagipun dengan jarak waktu yang jauh, suasana meriah kenduri itu dapat dikekalkan.

 

Pendek kata, kenduri kahwin memang mengerah tenaga dan menuntut kesabaran yang amat. Jika itu yang diterangkan kepada kita, kita boleh faham mengapa seelok-eloknya dijarakkan majlis kahwin antara dua beradik. Orang kata, biar sempat hilang penat dulu. Tetapi mengapa ditegaskan frasa ‘TIDAK BAIK’ itu? Seolah-olah ada unsur kepercayaan ghaib pula. Bila ditanya balik pada mereka, mereka akan jawab ‘orang tua-tua kata tak baik, kena ikutlah…’.

 

Adakah maksud mereka kalau terima menantu lebih dari seorang dalam tahun yang sama, si pengantin akan kena panah petir masa bersanding? Atau terjatuh dalam periuk gulai kawah? Atau mak pengantin akan jatuh sakit kena strok depan pelamin? Moga dijauhkan Tuhan. Tetapi kita pun berdoalah juga supaya dijauhkan dari karut-marut di atas. Kebahagiaan rumahtangga juga bukan bergantung kepada jumlah pengantin yang berkahwin dalam satu rumah yang sama.  

 

Oh, ya! Tugasan besar yang saya maksudkan di para pertama bukanlah kenduri kahwin tau!

 

S.Shamsudin : Sekarang…turunkan kau punya tandatangan!

Aziz Sattar    : Kanda…ini surat pajak!

            -Ali Baba Bujang Lapok-

 

Posted at 05:19 pm by raihani
Comments (4)  

Next Page