SET MY SOUL ALIGHT







raihani
June 12th 1979  (Age 30)
Female
Malaysia
Sedang memulihkan Permanent Head Damage di UPM dalam bidang Drama Dalam Pendidikan. Suka puisi, suka karya kreatif, suka filem. Baru melahirkan kumpulan cerpen 10+1 bertajuk BADRUL BAMBI.
   

<< November 2008 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30

Kumpulan cerpen BADRUL BAMBI boleh dipesan dengan menghantar emel ke badrulbambi@hotmail.com ataupun deppviggo@yahoo.com.Harga senaskhah,termasuk kos pos ialah RM20.00 Sedang Baca : Projek 238(BH Amir) Baru Tonton: Setem Jumpa saya juga di facebook,taip Raihani Mohd.Saaid
Free ebay counter

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Saturday, November 08, 2008
BERCAKAP-CAKAP DALAM TV

Ada bualbicara yang hosnya sangatlah menguasai rancangan. Sepatutnya dia  tak payah panggil tetamu yang selalunya lebih dari seorang,tak payah terima panggilan telefon sebab hanya dia yang bercakap. Sedangkan fungsi rancangan ini ialah untuk bertukar-tukar fikiran.Yang terjadi ialah hanya fikiran dia saja yang kita kena dengar. Rancangan mana yang saya maksudkan? Fikirlah sendiri tuan-tuan, puan-puan, hadirin yang saya hormati sekelian!

Saya suka Latte, rancangan terbitan 8TV kendalian Jason Lo. Jangan kata saya tak patriotik dan tak Islamik sebab suka tengok Latte.Pak Samad (SN Datuk A.Samad Said) pun pernah muncul dalam Latte. Daripada situ baru saya tahu Pak Samad ni biasa masuk menyanyi di Bintang Radio Singapura dan lagu kegemarannya ialah Dewi Manja (Sam Saimun kalau tak silap).

Kenapa ada jurang yang sangat ketara dalam kebanyakan rancangan bualbicara Bahasa Melayu? Tidak mahu bandingkan dengan rancangan luar negara ya! Saya tidak kata semua tetapi kebanyakan. Kalau serius,serius sangat topik dan nuansa pengacaraannya. Baik topik agama,politik, ekonomi mahupun akademik. Kalau dah santai tu panggil artis-artis,cakap jerit-jerit,takde isi malah kadang-kadang sampai ke tahap bangang. Saya secara peribadi suka Wan Chik Daud dan arwah Nurnikman Dadameah kendalikan Selamat Pagi Malaysia lebih kurang 20 tahun lepas. (Erghh..nampak sangat saya dah tua!). Aziz Desa pun saya suka.Faham topik, kenal tetamu dan nampak semulajadi.

Pernah sekali dalam tahun 1999,saya dan Mama diundang secara langsung ke Selamat Pagi Malaysia untuk mempromosi diri sebagai 'orang sastera'. Malang sungguh kerana kami dapat pengacara yang harap mekap saja tebal tapi nipis pengetahuannya. Barangkali dia sekadar mengikut arahan penerbit-bercakap saja,tanya apa saja dengan tetamu, tak ada masa barangkali nak buat kerja rumah. Tetapi dia nyatalah tak berapa kenal dengan kami…sudahlah penulis ni memang tak berapa terkenal. Buktinya, semua soalan skema ala-ala 5W1H yang ditanya pada Mama dan tidak boleh connect langsung dengan topik pagi itu. Saya pula tak henti-henti dipanggil 'Puan Raihani' walhal saya masa tu baru 19 tahun, boyfriend pun tak ada lagi…ewah ewah!

                         
Ini merupakan rancangan talkshow paling hebat dikendalikan oleh mentor-mentor
MPR 2006
. Antara saya, Kak Nisah, Ustaz Zaid dan Abang Lutfi-siapakah yang paling memberi perhatian kepada Abang Sham Aljohori yang bertungkus-lumus berbicara?Hehehe!

 R.Jaafar : Kau akan tidur di atas tilam…yang mengikut gerak badanmu…dan akan memantul kembali mengikut bentuk asal!
                 -Si Badul-

 

Posted at 02:25 pm by raihani
Comments (7)  

Sunday, November 02, 2008
TAJUK ALTERNATIF DM KE QM

Perkara yang lazim dalam dunia persuratan di mana-mana sekalipun ialah pertukaran tajuk karya yang diusulkan oleh penerbit. Saya pun terlibat dalam 'ini gambar'. Kali pertama pada tahun 1997, cerpen Badrul Bambi di Dewan Siswa. Arwah OP minta tukar tajuknya dari Badrul Bambino, dia suruh buang 'no' tinggal Bambi saja. Okeylah, meletup juga cerpen tu. Hehehe!

Untuk kali kedua ni, manuskrip novel pertama saya, Dari QM Ke DM, yang menang hadiah saguhati pertandingan DBP tahun lepas pula diusulkan pertukaran tajuk. Sedikit info, novel ini dikembangkan dari skrip filem pendek saya yang bertajuk Budak Pancaragam (tiada kena mengena dengan Budak Kelantan!). Skrip ini menang pertandingan anjuran FINAS pada tahun 2001. Kemudian, sekitar tahun 2004 saya mula mengembangkan idea skrip ini kepada novel remaja. Kisah budak pancaragam. Sekali saya ulangi-novel ini mula ditulis pada tahun 2004 selepas dikembangkan dari skrip filem saya yang dihasilkan pada tahun 2001.

Tahun-tahun yang saya tegaskan di atas PENTING. Setidak-tidaknya, penting bagi saya. Jika panjang umur ada rezeki novel ini menemui pembaca (jika ada yang sudi membacalah!), saya telah menyiapkan diri. Novel ini ada sedikit unsur yang mungkin sama dengan sebuah lagi novel remaja top oleh seorang penulis top masa kini. Tapi, dia memang dah top. Siapalah saya…baru nak menulis satu novel. (Nissa', ini bukan iklan sabun pencuci Top ya!) Nak tahu apa unsurnya,kena bacalah nanti.

Maka apakah tajuk yang sesuai untuk diusulkan sebagai gantian kepada Dari QM Ke DM? Nota: QM ialah Quarter Master iaitu anggota yang bertanggungjawab menjaga hal lojistik dalam pancaragam manakala DM ialah Drum Major, pemimpin pasukan. Jadi, apa tajuk yang wajar? Akustika Rindu, bak kata Zaid Akhtar? Di Hujung Trompetku Cinta Berbunga? Kasih Drum Major Yang Terakhir? Dram-dram Cinta? Hehehe! Jemput memberi cadangan!

A.Rahim : Ini siapa daa main seruling ni?Memekak je…!

Ali Fiji : Entah…sumbaaaaang je aku dengar!

            -Pendekar Bujang Lapok-

Posted at 09:59 am by raihani
Comments (12)  

Saturday, October 25, 2008
PETUA CANTIK YANG TAK CANTIK

Membaca petua kecantikan (kaum wanitalah!) di media cetak memang seronok juga. Tetapi kalau petua itu sangat umum contohnya mesti bersenam,menjaga makan,banyak makan sayur/buah,buat rawatan di salun, ia sangatlah membosankan. Ini saya boleh kutip dari mana-mana buku sekolah.Artikel itu pun jadi tidak menarik. Yang saya suka baca dan nak tahu ialah petua yang lebih spesifik,yang mungkin tidak dapat dari mana-mana buku kesihatan.

 

Contohnya, Seniwati Dato’ Sarimah menggantikan santan dalam masakan gulai dengan susu soya rendah lemak. Malah saya pernah terbaca, beliau sengaja diuji oleh seorang peminatnya yang menjamu beliau makanan-makanan yang pantang dimakan oleh orang yang memakai susuk. Tetapi orang yang nak menguji itu khabarnya menyesal kerana seniwati pujaan ramai itu makan dengan bersungguh-sungguh tanpa ada benda-benda pelik tersembul dari mukanya. Ataupun  menggunakan garam sahaja buat mengganti scrub (saya cuba dan hasilnya memang baik,murah lagi). Atau petua Profesor Diraja Ungku Aziz yang makan kurma 4 biji tiap-tiap pagi serta tidak mengenal nasi lemak dalam kamus dietnya.                                   

Saya 'bertungkus-lumus' mencantikkan pelajar saya,'Sherry Lily' semasa sesi fotografi Melati & Melur. Hehehe! Ini cat ka kapur? Bedak....tuan!

 

Salah seorang ibu saudara saya tabiatnya ialah membasuh bilik air atau mencuci kereta selepas makan tengah hari. Paling tidak pun dia akan menggosok baju barang 2,3 gerobok sebagai pembakar lemak. Bercerita pasal gosok baju ni, saya adakalanya guna seterika mengganti tungku apabila rasa sejuk-sejuk badan. Nak cari tungku entah di mana,silap-silap saya tak kenal pun. Jadi gunalah seterika. Caranya ialah panaskan sekejap seterika tu, balut dengan kain batik dan tuamlah ke anggota badan yang sejuk dan lenguh. Sebenarnya petua ni mak saya bagi, sebab dia ‘cemuih’ tengok saya merengek-rengek sakit perut masa senggugut. Orang lain yang tak biasa tengok mesti ingat saya jadi mangsa dera!

 

Paling meloyakan bila ada yang cakap petua cantik ialah selawat. Selawat ni dah overrated dan mungkin boleh sampai ke tahap disalahguna. ‘Saya berselawat tiap-tiap pagi mengadap cermin’, kata seorang artis wanita cantik ni sedangkan dia baru saja ditangkap kerana mabuk di disko. Macam itu senanglah saya nak cantik,tak payah basuh muka,tak payah mandi Cuma baca selawat saja. Atau orang cakap,yang penting cantik dalaman,hati kena bersih barulah cantik di luar. Dia faham ke hati nak bersih itu macam mana? Pakai kloroks ke? Bagi saya,selawat itu bukan diguna untuk mencantikkan wajah semata-mata. Orang yang faham amalan selawat sudah tentu orang yang akhlak dan gaya hidupnya cantik,di mata Allah. Dan dia tak perlu beritahu orang pun yang dia amalkan selawat untuk cantik.

 

Jangan hipokrit. Bagitahu sajalah krim apa yang anda pakai.bedak sejuk apa yang anda tempek,berapa pusingan anda jogging satu hari,salun mana anda kunjungi.Saya pun manusia biasa yang sentiasa ingin membaiki penampilan.Ini semua sunatullah,mesti mandi untuk bersih,mesti makan untuk kenyang. Mana boleh pakai doa saja.

 

AR Tompel : Ini Safar? Cantik…macam bulan!Tapi gerhana!

            -Ahmad Albab-

Posted at 11:09 pm by raihani
Comments (5)  

Thursday, October 16, 2008
MENCARI GADIS MELAYU?

Berhubung satu program tv 'mencari gadis Melayu' -Cukup Melayukah anda dengan berbaju tradisional,jalan tertunduk,duduk bersimpuh,makan dengan tangan,pakai songket,menyanyi lagu asli,bersyair dan berzanji? Pencarian Melayu sekadar bersifat fizikal ini agak meloyakan saya sebenarnya.  Katakan gadis Melayu ini menang pertandingan mencari Melayu, mana hala tuju mereka selepas itu? Terus melayu atau menyegar?  Mungkin pertandingan ini satu nama lain bagi Ratu Cantik? Atau satu temuduga  berminggu-minggu mencari wartawan penyiaran? Mungkin mereka ada dapat hadiah duit sikit, bolehlah beli rumah. Sebut pasal rumah, bolehlah klik di sini untuk berkongsi cerita.


Tak  cukup Melayukah saya kerana lebih suka pakai jeans,bawa beg silang dan jalan macam ah long nak kutip hutang sambil gelak macam ada mikrofon di mulut? Tak cukup Melayukah saya kerana tak punya suara yang sedap untuk bersyair dan berzanji serta tidak bercakap dengan suara lembut mengucapkan kata-kata (skrip sebenarnya!) yang berbunga-bunga? Melayukah Shah Rukh Khan sebab dapat kurnia gelaran Dato' dari negeri Melayu yang sudah tidak lagi bersultan Melayu?

 

Itulah,bila hanya faham dari aspek fizikal,kita akan jadi hipokrit. Kalau betul Melayu,cubalah jalan-jalan di KLCC pakai cucuk sanggul dan kain sibai tutup muka. Atau naik LRT pakai tanjak bawak keris mengganti hp. Koman-koman pun kalau ada kes ragut dan seluk poket boleh juga tolong membasmi jenayah. Saya pun kalau ada kamera mengekor sepanjang masa nak tak nak mestilah control ayu. Setakat tahu menyanyi lagu asli atau bersyair tapi tak faham apa falsafah sastera tradisional, tak faham apa puitika Melayu, baiklah pergi masuk  karaoke peringkat ketua kampung.

 

Tanyalah anak murid saya betapa susahnya nak tengok saya berbaju kurung, kecuali waktu ada mesyuarat jabatan/menziarah orang mati. Pergi beraya/kenduri kahwin pun saya boleh pakai jeans lagi. Tanyalah ahli keluarga saya betapa susahnya saya nak mencari baju raya bersifat tradisional. Satu sebab saiz. Dua,sebab saya tak suka pakai sama macam orang yang banyak. Saya punya badan,saya punya sukalah.

 

Saya pernah tulis tentang budaya pelawa. Saya diajar supaya jika ada sesuatu yang boleh dikongsi,maka kongsilah dengan orang. Lebih-lebih lagi makanan,jangan tunggu sampai dia kempunan. Kalau ada kemampuan fizikal dan tengok orang angkat beg berat,cepat-cepat tolong orang tu.Jangan tunggu dia minta tolong atau paksa anda memberi pertolongan. Pegangan saya yang sebegini rupanya disindir oleh seorang hamba Allah ni,katanya saya terlalu mementingkan adat kemelayuan. Seolah-olahnya kemelayuan itu sesuatu yang kolot dan mengekang kemajuan hidup,tidak hip dan tidak cool. Ini satu lagi tuuur!

 

Bukan senang nak menjadi Melayu sebenarnya.Tapi nak menunjukkan yang saya ni Melayu pun tak susah sangat.Nah, tengok saja kad pengenalan atau surat beranak saya.Kah kah kah!

 

P.Ramlee      : Apa yang kau tiup? Itu ball pen!

            -Tiga Abdul-

 

Posted at 11:57 pm by raihani
Comments (12)  

Thursday, October 09, 2008
BERAYA DALAM RANCANGAN TV

Percayalah, bukan saya sahaja malah anda juga pasti 'muncul' dalam beberapa episod program TV di bawah sempena hari raya ini!

 

Impak Maksima vs Rempit – Untuk yang memecut di jalan raya macam dia seorang saja yang ada kampung.

 

Jejak Kasih – Pertemuan semula dengan ahli keluarga/sahabat handai yang sudah lama terpisah, dalam suasana sayu dan mengharukan.

 

Pi Mai Pi Mai Tang Tu- Lebih kurang macam Jejak Kasih, tetapi ini suasananya lebih ceria dan kecoh. Bila pergi beraya balik-balik jumpa muka yang sama, duduk bergebang dari pagi sampai petang.

 

Forum Perdana campur Halaqah – Di hari baik bulan baik ini, pasti ada acara tazkirah dan saling menasihati sewaktu bermaafan. Tazkirah juga boleh diaplikasi untuk mengawal nafsu berbelanja,nafsu makan dan perangai anak-anak waktu beraya di rumah orang.

 

Kancheong Kitchen campur Bersama Chef Wan – Bagi yang biasa masuk dapur waktu raya ni, okeylah. Tapi bagi yang pertama kali masuk dapur terutamanya secara tak berapa rela, pastilah kitchen disaster tak dapat dielakkan. Hendak pulak ada Iron Chef (biasanya mak mentualah) yang memantau di tepi belanga.

 

China Pappa Periya Pappa- Ingat lagi drama Tamil tentang mak mentua dan menantu perempuan yang tak sebulu tetapi dapat bersekutu dengan baik apabila datang masalah dari luar?

 

Martha Stewart – Waktu untuk menunjukkan kemahiran menggubah bunga, menyusun sudu garpu dan mengubah rumah menjadi galeri seni yang tip top untuk tatapan tetamu. Sambil beraya, sambil membuat demonstrasi kraftangan gitu!

 

Casa Impian – Biasalah, kediaman bertukar rupa sempena hari mulia!

 

Amazing Race – Selain terkejar-kejar membeli persiapan raya di saat terakhir, Amazing Race juga diaplikasi bagi mencari petunjuk ke rumah Tok Wan atau Pak Long yang entah di mana sebab kita menziarah mereka entah berapa tahun sekali. Itupun sebab ada desakan dari pucuk pimpinan serta akar umbi.

 

Survivor – Apa motifnya sampai 2 sekali RNR di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup waktu kemuncak orang balik dari beraya? Saya kalau dari Sungai Petani nak balik ke KL selalunya ambil masa 4-5 jam. Tetapi raya kali ni sudah 6 jam berkereta baru sampai Ipoh! Akhirnya kami sekeluarga ambil keputusan untuk berhenti cari hotel di sekitar Ipoh, rehat semalaman barulah meneruskan perjalanan esok paginya. Terima kasih untuk Nissa' dan Kerd sebagai ejen maklumat.

 

Untuk mereka yang tangki minyak keretanya memang sampai masa minta diisi, yang memang tak tahan nak ke tandas atau yang memang kelaparan sambil mengharapkan untuk berhenti di RNR yang ditutup tadi, memang saya sangat simpati dengan anda! Jadi, selamat berSurvivor!

 

Gangstarz campur Akademi Nasyid – Hari raya juga waktunya untuk si kecil menunjukkan bakat membuat bunyi-bunyian sama ada yang harmoni ataupun yang lari pitching, sama ada secara solo atau berkumpulan apabila menziarah rumah orang.  Adik saya, Ninja entah apa cerita di pagi raya dia sempat lagi basking di tepi Sungai Perak waktu balik ke kampung Abah. Tapi tak ada pulak orang nak bagi duit hatta sekupang.

 

Desperate Housewives – Saya percaya semua isteri/ibu di pagi raya akan muncul dalam siri ini, sebagai pelakon utama. Terkejar sana,terkejar sini. Kalau ada yang boleh muncul sekadar sebagai cameo saja, memang ajaiblah.

 

Project Runway – Ibu mertua saya tiap-tiap kali menjelang raya,pasti akan buka kedai tailor kerana ada saja kain baju yang disua anak menantu. Yang ketat, yang longgar, yang tercabut butang dan macam-macam lagi. Saya sendiri kali ini ada tertinggal beberapa item dalam 'pakej' busana raya lalu terpaksalah membuat improvisasi kostum, macam Project Runway itulah. Kemudian bila dah siap, kami semua buatlah jalan kucing keliling rumah menayang baju.

 

Battlestar Galactica – Peperangan penuh gegak gempita dan berkilai-kilau melibatkan lampu lip lap,panjut, bunga api, mercun katak dan meriam kabaid.

 

Siti Sifir- Untuk mana-mana Siti yang mencongak sifir baki akaunnya selepas raya yang hampir-hampir sifar!

 

Zahara Agus : Saya kasi duit sama si Jamil suruh buat 7 hari 7 malam…kenapa buat 3 hari 3 malam saja?!

            -Madu Tiga- 

Posted at 08:28 pm by raihani
Comments (6)  

Monday, September 29, 2008
REALITI RAYA

(i)

Di sela-sela persiapan raya, ada juga hamba Allah yang sudi membuat lawak untuk saya dan rakyat Malaysia yang lain iaitu –harga minyak TURUN 10 SEN dan mana-mana umat di Malaysia ni yang mengalami kecacatan fizikal akibat bermain mercun patut dilatih sebagai ATLIT PARALIMPIK bagi memeriahkan lagi kontinjen paralimpik negara.

 

Saya pun hampir-hampir mengalami kecacatan tali pusat akibat ketawa terlampau banyak.

 

(ii)

Sekian banyak rancangan dan iklan TV (kecuali beberapa iklan yang ‘berjenis’) memaparkan realiti sambutan raya yang sangat tebal dengan kosmetik. Antaranya-

 

1)                 Bukan semua orang pulang ke kampung menyambut raya dengan berpakaian baju kurung/baju Melayu lengkap. Saya sendiri kalau travel balik kampung pakai t-shirt dengan jeans koyak saja.

2)                 Perjalanan sangat ceria,boleh nyanyi-nyanyi lagu raya dan melambai sini sana walhal hakikatnya perjalanan kita penuh dengan tekanan, kesesakan, kesibukan dan ketirisan pahala puasa yang mungkin berlaku sebab mulut kita ‘terlebih mesra’.

3)                 Selalunya dalam TV, para perantau di kota ni pulang ke rumah kampung dengan tangga a la rumah Melaka dan punya halaman luas dikelilingi segala macam kebun dan sawah. Macam mana dengan saya yang ‘balik kampung’ itu bermaksud pulang ke taman perumahan yang kiri kanannya ialah bangunan komersil termasuk hotel dan pasaraya?

4)                 Betulkah setiap kali pulang ke kampung, yang menyambut kita ialah sanak saudara yang sedang mengacau dodol di laman dan menganyam ketupat di serambi? Yang selalu menyambut kepulangan saya ialah adik-adik yang terbungkang depan TV, ibu yang sedang menaip di laptop dan ayah yang sedang memainkan cd ceramah agama dengan projektor.

 

Walau apa pun yang saya bebelkan di atas, ini tidak akan menghalang kita semua untuk menyambut Aidlfitri dengan ceria, aman dan selesa. Moga Allah mengampunkan saya kerana terlalu banyak urusan duniawi yang saya buat di bulan Ramadan hingga terasa sangat kurang ibadat yang lain. Saya berdoa moga kesibukan saya 2,3 minggu ini menguruskan hal-hal rumah dan akademik demi kelangsungan hidup juga boleh dikira sebagai ibadat. Untuk semua, minal aidil walfaizin. Maaf setulus hati.

 

S.Shamsudin           : Orang-orang yang tidak mahu menonton filem ini, hidupnya tak cukup syarat. Tak lama matilah dia!

            -Tiga Abdul-  

Posted at 12:54 pm by raihani
Comment (1)  

Sunday, September 21, 2008
KARUT-MARUT TARIKH KAHWIN

(I)

Saya tidak akan update blog ini sekerap dulu. Ini bagi amaran siap-siap. Hahaha! Sekarang saya sedang mengendalikan beberapa tugasan besar yang sangat menuntut masa dan tenaga.

 

Nak hidup punya pasal!

 

(II)

Saya pernah bercakap dengan beberapa orang tua yang berpendapat bahawa adik beradik TIDAK ELOK atau TIDAK BAIK bernikah pada tahun hijrah yang sama. Atau dalam erti kata lain, mak ayah TIDAK ELOK terima lebih dari seorang menantu dalam tahun hijrah yang sama. Adik beradik kembar juga dilarang naik pelamin serentak, dikhuatiri rumahtangga tidak bahagia. Larangan ini diulang-ulang supaya menjadi satu kepercayaan. Jadi, saya nak tanya, siapa yang asalnya ‘cerdik’ sangat buat kepercayaan seumpama ini?

 

Setakat pengetahuan yang ada pada saya yang hina dina ini, belum lagi saya jumpa nas atau dalil yang mengabsahkan perkara di atas. Saya boleh wajarkan sendiri secara logik bahawa kenduri kahwin itu satu hal yang besar. Banyak kerja nak dibuat, banyak nak pakai tenaga, masa dan wang ringgit. Nak kumpulkan saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga untuk bekerjasama membantu kenduri bukan satu kerja mudah. Soal jemputan pula satu hal lagi. Ahli keluarga yang otai dan agak berpengaruh dalam keluarga, misalnya bapa atau ibu saudara pengantin yang paling senior mesti dijemput secara peribadi, biarpun yang menjemput duduk di Melaka dan yang dijemput duduk di Pulau Pinang. Kalau kenduri di hotel, berbulan-bulan sudah kena sahkan seating. Lagipun dengan jarak waktu yang jauh, suasana meriah kenduri itu dapat dikekalkan.

 

Pendek kata, kenduri kahwin memang mengerah tenaga dan menuntut kesabaran yang amat. Jika itu yang diterangkan kepada kita, kita boleh faham mengapa seelok-eloknya dijarakkan majlis kahwin antara dua beradik. Orang kata, biar sempat hilang penat dulu. Tetapi mengapa ditegaskan frasa ‘TIDAK BAIK’ itu? Seolah-olah ada unsur kepercayaan ghaib pula. Bila ditanya balik pada mereka, mereka akan jawab ‘orang tua-tua kata tak baik, kena ikutlah…’.

 

Adakah maksud mereka kalau terima menantu lebih dari seorang dalam tahun yang sama, si pengantin akan kena panah petir masa bersanding? Atau terjatuh dalam periuk gulai kawah? Atau mak pengantin akan jatuh sakit kena strok depan pelamin? Moga dijauhkan Tuhan. Tetapi kita pun berdoalah juga supaya dijauhkan dari karut-marut di atas. Kebahagiaan rumahtangga juga bukan bergantung kepada jumlah pengantin yang berkahwin dalam satu rumah yang sama.  

 

Oh, ya! Tugasan besar yang saya maksudkan di para pertama bukanlah kenduri kahwin tau!

 

S.Shamsudin : Sekarang…turunkan kau punya tandatangan!

Aziz Sattar    : Kanda…ini surat pajak!

            -Ali Baba Bujang Lapok-

 

Posted at 05:19 pm by raihani
Comments (4)  

Saturday, September 13, 2008
SMSSAAS:SATU RETROSPEKSI

Seperti juga Kak Lenny, saya menggunakan Facebook untuk mencari kembali sahabat handai yang sudah lama saya tidak jumpa tetapi belum saya lupa. Lama dalam erti kata nombor mereka tiada dalam hp saya sekarang. Apabila saya terjumpa mantan rakan sekelas, saya pun lihat pada senarai jaringan kawan-kawannya. Tak semena-mena saya menjadi blues…heheh! Mereka (merujuk rakan-rakan sekelas batch 1992-96) rupanya masih saling menghubungi walaupun sudah lebih sedekad meninggalkan sekolah, masih punya jaringan yang kuat. Sedangkan saya terpelanting entah ke mana membawa diri…seolah-olah mereka tidak pernah wujud dalam kamus hidup saya. Mungkin besar silap saya tidak berusaha mengukuhkan ikatan malah hampir-hampir memadamkan mereka dari ingatan. Tetapi kenyataan di atas pasti ada awal muaranya,kan?

 

Say menjalani alam persekolahan seperti orang lain juga. Belajar, berpersatuan, bergurau-senda, bermasam muka, ‘bercinta dengan monyet’ (ooops!) dan segala-galanya yang lazim dalam alam persekolahan. Tetapi entah mengapa, apabila menghampiri SPM (1996),saya menjadi seorang yang pemurung. Untuk rakan-rakan di MPR, di UM dan adik-adik di UPM yang biasa melihat saya ceria dan sentiasa happening, maka inilah pengakuan besar yang ingin saya buat di sini. Saya pernah mengalami depresi ketika di tingkatan 5. Puncanya? Patutkah saya salahkan krisis pembahagian kelas pelajar Einstein vs pelajar mata merah? Sikit-sikit.

 

Saya menjadi pengawas dan memegang segala macam jawatan VIP di sekolah. Tiga tahun pertama saya okey. Sebaik sahaja disumbat ke tingkatan 4 aliran sains tulen, segala keceriaan saya seolah-olah disedut. Saya layak masuk ke aliran sains kerana keputusan PMR saya. Tetapi masa depan saya memang tidak terbaca di situ. Hendak bertukar aliran?Telah saya katakan, ego saya sebagai VIP sekolah (hehehe,perasan!) membuatkan saya bersetuju dengan kuota pembahagian pelajar Einstein vs pelajar mata merah di atas. Saya tidak mahu diasosiasi dengan second citizen di dalam sistem pendidikan negara. Saya juga tidak mahu tukar kerana sayangkan pasukan pancaragam saya. Ewah!

 

Benar, pancaragamlah satu-satunya sebab saya bertahan di SMSSAAS hinggakan memori sepanjang menjadi budak band saya abadikan dalam manuskrip novel Dari QM Ke DM (yang menang Hadiah Novel Remaja DBP tahun lalu). Malah orang pertama dari alma mater saya yang saya Add dalam Friends ialah mantan Drum Major sekolah. Bagaimana keadaan saya sepanjang berada dalam tingkatan 4 dan 5? Teruk. Saya tidak mahu pergi sekolah. Saya menangis sepanjang kelas, terutamanya kelas Add.Math dan Matematik Moden. Saya gagal semua subjek elektif sains tulen malah selalu dapat ‘0’  dalam ujian. Saya menjadi pelajar yang corot dan bangang sedangkan rakan-rakan di ASK dan UM melihat saya saya sebagai pengunggul senarai Dekan. (Tapi kuasa Allah, ditambah sedikit usaha, saya dapat juga kredit untuk Kimia dan Bio serta lulus Add.Math dan Fizik semasa SPM. Matematik Moden saya dapat 3!)

 

Ketika itulah saya juga sudah mula aktif dalam bidang penulisan, sudah menang hadiah sastera itu ini dan sudah mula melihat diri menempek di suratkhabar. Saya sudah mula bergaul dengan penulis di luar dunia persekolahan saya dan merasakan hanya merekalah yang memahami saya. Disebabkan itulah saya jauh dengan kawan-kawan di sekolah. Kalau guru pun saya cuma rapat dengan guru yang ada pengalaman dan pengetahuan ‘bersastera’ di luar sana. Kalau diimbas balik, saya ni seorang yang sangat membosankan di sekolah. Saya tak pakai fesyen terkini, saya tak dengar lagu terkini, saya tak tonton filem terkini dan serba-serbi ketinggalan, mengikut arus anak muda ketika itulah. Saya tidak ketawa bersama kawan-kawan sekelas. Saya menjadi alien, bak kata Hizairi. Bertambah alien lagi apabila selepas SPM, hanya saya seorang dari sekolah itu yang masuk ASK dan mengambil jurusan Penulisan Kreatif/ Seni Persembahan. Jika mereka cakap saya menghilangkan diri, saya cuma boleh memasang harapan bodoh yang mereka ada membaca ruangan sastera di akhbar-akhbar harian.

 

Maka di sini saya dengan rendah hati ingin memohon kemaafan kepada mantan warga SMSSAAS jika ada tutur dan laku saya yang tidak menyenangkan kalian. I’m just being myself.

 

Zahara Agus: Dah dia rampas laki kita, biji mata kita pulak dia nak korek…!

            -Madu Tiga-   

Posted at 11:17 am by raihani
Comments (13)  

Tuesday, September 09, 2008
TAUBAT DRAMA MELAYU DI BULAN PUASA

Apabila ramai yang komen tentang lambakan rancangan memasak di tv sempena bulan Ramadhan yang mulia ni, saya senyum saja. Walaupun haram satu resepi saya tak cuba, tapi saya lebih rela tengok rancangan-rancangan memasak ni dari sekian banyak drama Melayu (dibaca:dihasilkan oleh produksi berbahasa Melayu).

 

Jika anda mengikuti tulisan-tulisan saya sebelum ini tentang drama Melayu, mungkin anda akan mengecop saya sebagai pesimistik. Drama Melayu boleh menyebabkan saya kena kejang otot bila menontonnya. Okeylah, tak payah menonton. Dengar dialog dari jauh pun saya dah rasa macam nak demam. Percayalah, di bulan puasa ni anda akan melihat sekian banyak drama Melayu dengan tajuk-tajuk yang ada perkataan ‘taubat, tasbih, surah,ijtihad, sujud, fikrah,takbir’ dan segala macam perkataan berakar dari bahasa Arab yang kononnya dapat diasosiasi dengan Islam. Pada bulan puasa sajakah kita nak menunjuk baik?Sajak-sajak di akhbar mingguan juga begitu.Hehehe!

 

Maaf,tak berniat pun melekehkan drama tempatan. Tapi bila buka tv,banyak (bukan semua) drama yang nak bermesej dan nak menyuruh orang insaf. Tapi untuk menerbitkan keinsafan itu, mesti ditunjukkan satu watak yang terpesong sama ada dengan menjadi anak derhaka, suami panas baran, isteri curang, pekerja korup, kaki disko,kaki perempuan, kaki judi dan segala macam kaki lagi. Kemudian untuk menambah sedih,mesti ditunjukkan kemiskinan melampau-lampau-pakai baju buruk,duduk rumah buruk,menangis tak berhenti, mesti ada unsur hujan ribut bagi menambah darjah kesedihan…tolonglah!

 

Kenapa banyak drama Melayu sekarang pelakonnya cakap menjerit-jerit dan mebentak-bentak?Ada satu adegan tu saya tertengok, si suami sampai heret isteri ke pintu dengan motif supaya penonton kesian pada isteri yang menderita dan benci pada suami yang zalim. Maka tidak dapat tidak, saya akan membandingkan dengan drama Deddy Mizwar iaitu Kiamat Sudah Dekat dan Demi Masa dari Indonesia. Tapi bukan semua produksi Indonesia tu sepesen dengan karya Deddy Mizwar. Saya cuma bertanya, mengapa drama-drama bermesej tu perlu menunjukkan watak yang buat jahat dan akhirnya menerima pembalasan?

 

Oleh yang demikian, daripada saya tengok drama Melayu baiklah saya belajar cara-cara buat lepat ubi kayu!

  

M.Zain           : Saya mahu minum…air susu!

Udo Umar     : Koboi mana minum air susu!

            -Labu Labi-

Posted at 01:57 pm by raihani
Comments (11)  

Thursday, September 04, 2008
SAJAK ANUM KEPADA JEBAT

Setelah lebih setahun sajak ini tersiar di Mingguan Malaysia dan lebih kurang 3 bulan diumum menang HSKU 2007, maka saya siarkan di sini. Menurut panel, sajak ini merupakan wacana sejarah dan pada pendapat mereka, Anum ialah anak Sang Rajuna Tapa. Terpulang, itu pandangan mereka. Tetapi kata Saudara Hanafi Ibrahim, orang kuat MPR-DBP yang turut sama menjadi panel, beliau melihat sajak saya ini dari sudut gender.Menurut seorang teman akrab, dia melihat sajak ini sebagai wacana ‘asmara’.Hahaha!

 

Maka di sini saya bongkarkan bahawa Anum di dalam sajak ini bukan sebenarnya anak Sang Rajuna Tapa tetapi Anum di dalam sajak ‘Ceritera Yang Keenam Belas’, karya SN Muhammad Hj.Salleh. Anum itu merupakan ‘kekasih gelap’ Hang Kasturi yang mengamuk dalam Sejarah Melayu. Anum anak Sang Rajuna Tapa pun boleh dikira ‘kekasih gelap’ kepada Sultan. Bukanlah saya nak mengangkat-angkat imej ‘kegelapan’ ni. Cuma saya tertarik dengan peranan mereka sebagai golongan sub altern.

 

Di dalam MM dan seterusnya dalam antologi Dari Suatu Tikungan Lorong, sajak ini pemerengganannya sudah lari. Baris ‘rindu ini terlalu melukaiku’ dan ‘resah ini lebih dahsyat dari amukmu’ sepatutnya berdiri sendiri dalam satu baris sahaja. Itu penegasan makna. Yang tersiar ialah kedua baris ini digabungkan dengan perenggan lain. Tapi tak apalah.Menang juga sajak ni!Hehehe!

 

Tapi siapakah sebenarnya Jebat dan Anum dalam kehidupan saya?Apa yang saya boleh katakan, sajak ini terhasil dari satu ingatan yang amat mendalam dan saya tumpahkan sepenuh jiwa untuk menyatakan ingatan itu. Selamat membaca!

 

SAJAK ANUM KEPADA JEBAT

 

Jebat,

kutulis sajak ini dengan rindu yang sangat berat

dan ingatan kasih yang sarat

lebih hebat dari seisi Melaka dan Temasek diletakkan di jemalaku.

Telah bermusim kota itu kubuka

namun darahku masih basah di pelantar pertanda.

Ambillah harum darah ini

dan langirkan Taming Sarimu.

Sampai bila takkan bisa

kita membaca isyarat murup mega

dan bahasa sitara yang berkalih makna.

 

Rindu ini terlalu melukaiku.

 

Selamanya pijar suria ini menghanguskan ladang kita

selamanya ganas gelombang ini menghanyutkan rumah kita

tetapi akan tetap kita nyalakan ikrar cinta

dan menyempurnakan sepulau janji.

Ikrar jangan terbakar,

bagai api berahi itu yang membakarku,

janji jangan cair

bagai darah itu di hujung kerismu.

 

Resah ini lebih dahsyat dari amukmu.

 

Di atas kasur setia,

sekali lagi bersama

kita akan menderhaka!

 

P.Ramlee      : Wahai tikar pandan terbang, ini hanya untuk demonstration.Zam zam alakazam!

            -Laksamana Do Re Mi-

Posted at 11:25 am by raihani
Comments (8)  

Next Page