Orang yang membawa saya ke dunia penulisan telah dibawa ke alam abadi pada 26 Februari lalu. Kami cuma berjumpa sekali, iaitu ketika saya mengikuti bengkel penulisan kreatif anjuran KEMUDI yang dikendalikan beliau di SMK Teluk Datok, Banting, tahun 1994. Saya berikan beliau sajak Istana Kemerdekaan sebagai keperluan bengkel, beserta nombor telefon.


Tidak sampai beberapa hari selepas itu, beliau menelefon saya di rumah. Setelah memperkenalkan diri, ayat pertama beliau ialah ''Setelah membaca sajak awak ni, saya terperanjat! Saya terperanjat…!'' Saya pun mulalah gelabah biawak, manalah tahu sajak seposen itu 'terplagiat' sajak sesiapa tanpa pengetahuan saya. Rupanya,beliau hendak memberitahu bahawa sajak saya itu bagus dan beliau mencadangkan supaya dihantar ke Hadiah Puisi Esso-GAPENA II. Dengan bersusah payah, beliau membaiki sepatah kata dalam sajak itu dan mengepos borang penyertaan kepada saya.Ketika inilah baru saya tercakap lebih kurang ''Tak apalah.saya boleh suruh mak saya ambilkan borang tu di Rumah GAPENA…'' ''Siapa mak?'' ''Zurinah Hassan…''
''Ini betul-betul kuah tumpah ke nasi!'' Beliau bersuara dengan penuh gembira dan teruja. Sedikit pun tidak bertanya apakah sajak itu ada tangan-tangan ghaib yang menukangnya. Bersungguh-sungguh beliau mahu saya menyertai sayembara puisi bertaraf kebangsaan itu,tanpa sedikit pun menyebut bahawa saya terlalu muda atau tidak sesuai menyertainya. Setelah beliau membetulkan Istana Kemerdekaan (hanya satu patah kata yang diubah), saya tulis pula Kota Anak Generasi dan menghantar 2 penyertaan ini ke Hadiah Puisi Esso-GAPENA II.The rest is history.
Setiap kali saya ditemubual, saya pasti akan memasukkan nama Zahari Hasib sebagai orang yang membawa saya ke dunia penulisan secara serius. Lalu apabila menerima berita pada 27 Februari lalu, saya terkilan kerana kumpulan sajak TAQ yang ada dedikasi untuk beliau tidak sempat saya kirimkan.Padah suka bertangguh.
Alfatihah untuk Penyair Zahari Hasib,penyair yang mempercayai bahawa budak tingkatan 3 boleh menulis sajak sendiri.
S.Kadarisman:Kanda akan mati dulu…
-Tiga Abdul-
Posted at 10:54 am by
raihani