Your Ad Here









raihani
June 12th 1979  (Age 32)
Female
Malaysia
Pemilik nama penuh Siti Raihani Mohamed Saaid ini lahir pada 12 Jun 1979 di Kuala Lumpur. Puteri sulung kepada sasterawan Dr.Zurinah Hassan ini mula serius menulis sejak tahun 1994 dalam genre puisi, cerpen, esei dan skrip.Karya-karya pernah tersiar di Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Tunas Cipta, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, InTrend, Eh! dan banyak lagi. Penghargaan yang pernah diterimanya dalam dunia sastera tanah air ialah Hadiah Sastera Berunsur Islam 13,Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009,Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004/2005, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007, Hadiah Saguhati Pertandingan Menulis Novel Remaja DBP 2007, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003, Hadiah Cerpen Esso-GAPENA 1997, Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-GAPENA 1995, Hadiah Sastera Siswa 1997 dan 1998 serta 3 siri pertandingan Penulisan Skrip Filem anjuran FINAS. Merupakan graduan Akademi Seni Kebangsaan dalam bidang Penulisan dan Universiti Malaya dalam bidang Seni Persembahan. Gemar mengisi masa lapang dengan membaca, menonton filem dan bermain piano.Selain menulis,boleh dipanggil untuk mengendalikan bengkel drama untuk remaja,kerja-kerja terjemahan dan voice over. Karya persendirian yang sudah diterbitkan dalam bentuk buku ialah kumpulan cerpen Badrul Bambi dan kumpulan sajak Terminus A Quo (terbitan Rumah Buku Rania) serta novel Dari QM Ke DM (terbitan DBP). Kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana di Akademi Pengajian Melayu, UM dalam bidang kajian filem P.Ramlee.
   

<< May 2012 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31

Kumpulan cerpen BADRUL BAMBI dan kumpulan sajak TERMINUS A QUO dijual secara pakej istimewa iaitu RM25,termasuk kos pos untuk kedua-dua buah buku.Pakej buku ini boleh dipesan dengan menghantar emel ke deppviggo@yahoo.com atau mesej ke facebook Raihani Mohd.Saaid. Sedang baca:Fairy Tales Adventure(Hans Christan Andersen) Baru Tonton:Knucklehead Jumpa saya juga di facebook,taip Raihani Mohd.Saaid
Free ebay counter

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Saturday, May 05, 2012
MENDEWASA BERSAMA TERMINUS A QUO (II)

Saya akan menyebut contoh tahap perubahan gaya pada sajak saya yang berunsur patriotik iaitu Istana Kemerdekaan (1994), Janji Si Muda Lela(2000) dan Muda Jauhari (2005). Ketiga-tiga sajak ini dihasilkan untuk tujuan yang sama iaitu Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan, yang memerlukan sajak-sajak berunsur kenegaraan, cinta negara dan yang sewaktu dengannya. Istana Kemerdekaan ditulis dengan nada yang masih berkobar-kobar dan memasukkan banyak fakta untuk menguatkan sajak itu. Jadi, maksudnya sebagai sebuah sajak patriotik tercapai, kerana sajak ini tidak sukar difahami. Janji Si Muda Lela lebih lembut pengucapannya, hampir tiada korus untuk deklamator dan tidak lagi mempunyai nada bertempik. Sajak ini hampir setiap tahun deklamator yang membawanya akan mendapat top 3 dalam sayembara. Tetapi sajak Muda Jauhari paling tidak popular dan tidak pernah diundi sebagai sajak untuk bacaan di final. Saya berpendapat,sajak ini tidak menjadi pilihan kerana ia lebih menekankan unsur pemikiran dan mungkin sesuai untuk bacaan senyap. Di awal pengkaryaan, sajak patriotik itu ialah kecintaan yang meluap-luap kepada negara, menyusuri sejarah dan membenci penjajah asing, seperti mana ada dalam Istana Kemerdekaan. Janji Si Muda Lela menekankan cinta negara melalui cinta kepada bahasa dan menjadi bangsa yang ihsan jiwanya. Tetapi Muda Jauhari ialah sajak mempertahankan anak muda dari penjajahan ‘mereka yang lebih tua dan lebih berkuasa’ serta ‘mereka yang terdahulu yang telah membuat keputusan yang merosakkan generasi sekarang’.

 

Tulislah sesuatu yang dekat dengan pengalaman. Saya tidak pernah menulis tentang tsunami atau peperangan d luar negara kerana saya duduk selesa di rumah saya dan tidak mengalaminya. Sebaliknya, perkara yang saya alami dan isu yang saya hadapi/baca setiap hari ialah isu bahasa Melayu/sastera Melayu tidak mendapat layanan yang sewajarnya di negara sendiri, isu-isu kepincangan dalam sistem pendidikan,birokrasi dan layanan terhadap orang berilmu. Saya sukar sekali hendak memuji seseorang atau sesuatu di dalam karya. Kebanyakan sajak yang terhasil adalah reaksi daripada sesuatu yang tidak kena dan perlu dtegur.

 

Siasah adalah topik dominan dalam antologiTerminus A Quo. Sajak Ad Hominem I dan II, terhasil daripada satu peristiwa debat yang disiarkan secara langsung di TV pada tahun 2008, antara dua tokoh yang memegang pendirian siasah berbeza. Negeri Itu Antonius tercetus selepas peristiwa bersidang bawah pokok pada awal 2009. Demarche ialah sajak mengenai krisis Interlok, Terminus A Quo ialah sajak mengenai debat perpaduan, manakala Memilih Hari Mencintaimu ialah mengenai tarikh pilihan raya.

 

Telah saya tegaskan bahawa saya bukan pengumpul stok dan akan menyumbatkan berapa sahaja sajak asalkan buku saya tebal. Saya pernah digalakkan oleh seorang penyajak senior supaya berbuat demikian supaya cepat terlaksana hasrat memiliki buku sajak sendiri. Tetapi beliau memberi cadangan yang kurang sihat iaitu ‘‘masukkan saja sajak-sajak yang lama,tak perlu semua sajak bagus.’’ Saya ingin beri pesanan khidmat masyarakat; fikirkan bahawa buku sajak itu kelak akan berpotensi memenangi apa-apa sayembara besar. Fikirkan bahawa buku sajak itu akan dibicarakan oleh orang yang penting dalam sastera negara. Jadi secara tidak langsung, kita akan mengetatkan QC dalam penghasilan karya. Tidakkah kita mahu berasa lapang dada dan gembira sebagai seorang penulis apabila kelak karya itu dibicarakan,si pembicara atau khalayak pembaca akan mengatakan ‘’Semua karya dalam buku penulis A itu bagus-bagus!’’

AR Badul:Asal orang nak makan aje,Bddal Badul...Badal Badul!

 -Si Badul-

Posted at 01:34 pm by raihani
Ada pendapat?  

Friday, April 20, 2012
MENDEWASA BERSAMA TERMINUS A QUO (I)

(Catatan ini dibicarakan semasa Majlis Diskusi Karya Alumni MPR 24 Mac lalu)

Kumpulan sajak Terminus A Quo (Rumah Buku Rania, 2011) boleh dikatakan autobiografi saya di dalam dunia persajakan. Pembaca boleh menyaksikan proses ‘pertambahan umur’ saya dengan menyusuri sajak-sajak yang saya hasilkan dari tahun 1994 hingga 2011. Saya mengambil masa 17 tahun untuk mengumpul puisi. Saya bukanlah penyimpan stok puisi atau boleh memberi respon dengan cepat jika ada yang meminta puisi segera untuk tema tertentu.

 

Tahap kerajinan saya dalam menghasilkan puisi digerakkan oleh permintaan dan keperluan, misalnya jika ada permintaan dari editor atau saya berminat untuk menyertai sayembara tertentu. Saya bukanlah seorang yang boleh menghasilkan puisi dengan banyak jika tidak ada yang mengusik kawah kreativiti saya, walaupun ada kalanya membuat kerja-kerja di minit terakhir boleh memberi hasil yang tidak diduga. Namun hal ini subjektif. Seorang penyair perlu merajinkan dirinya dengan berkarya lebih banyak,tetapi kualiti karya hendaklah dipelihara.

 

Saya selalu berpesan kepada diri; jadilah penulis yang sentiasa mencari gaya segar dalam kepenyairannya. Tiada manfaatnya menghasilkan 120 sajak setahun tetapi gaya,isu,tema dan penyudah karya itu boleh diagak,malah sudah ke tahap klise.Sajak-sajak awal saya banyak didorong oleh rasa untuk mendapat tempat. Gaya bahasa masih tidak matang, jatidiri masih belum diperkukuh. Sajak-sajak sejarah menjadi kegemaran kerana saya membaca banyak sajak Zurinah Hassan dan Muhammad Haji Salleh.Sajak sejarah adalah satu cara untuk membina patriotisme;beri tafsiran baru pada sejarah,bukan sekadar memperihalkannya. Kemudian,menulis tentang sejarah itu saya tafsir dengan memasukkan pengalaman peribadi sehingga dipersoalkan apakah benar wujud watak-watak berikut dan apa yang terjadi kepada mereka. Contohnya citra Jebat dan Anum.Anum di dalam sajak-sajak saya. Memang Anum di dalam sajak saya merujuk kepada anak Sang Rajuna Tapa. Tetapi ia sebenarnya lebih dipengaruhi oleh watak Anum dalam sajak Ceritera yang Keenambelas (SN Muhammad Haji Salleh).

 

Pemilihan frasa latin/tajuk yang tidak diulang dalam sajak menjadi gaya baru dalam persajakan saya. Perkara yang menarik perhatian saya bukan isu-isu seputar saya sebagai wanita,isteri atau ibu. Saya lebih suka berkeluh kesah tentang sistem yang membodohkan anak bangsa saya, yang membodohkan sastera atau filem saya,yang menghodohkan wajah sahsiah saya.

 

Bagaimana pula saya menulis sajak dedikasi? Pada awal persajakan, memang saya akan menulis secara langsung kepada siapakah sajak itu saya tujukan. Namun apabila telah lama berkarya, saya hanya memasukkan imej sahaja, tidak perlu menyebut nama atau untuk acara apa sajak itu ditulis pada sub tajuk. Contoh,Sajak Untuk Ram dan Penaka Debu Maya. Kedua-dua sajak in ditulis untuk 2 orang pengarah filem yang sudah meninggalkan kita. Tetapi saya hanya menyebut singkatan nama mereka dan citra yang sinonim dengan filem mereka.  Boleh sahaja saya katakan antara tujuannya  meninggikan nilai estetik sajak. Kedua, untuk merajinkan pembaca berfikir, sebab saya fikir sudah sampai ke peringkat di mana saya menulis istimewa untuk orang yang mengikuti sajak-sajak saya. Sebelum ini saya tulis untuk khalayak yang lebih besar,tetapi khalayak itu tidak memberi perhatian sepertimana yang saya harapkan sebagai seorang penulis.

 

Apabila menerbitkan karya sendiri,pastikan sajak-sajak di dalamnya sudah teruji sama ada pernah tersiar atau pernah memenangi sayembara besar. Jika tidak, anda harus mencari seorang penilai yang berwibawa. Elakkan menerbit karya syok sendiri. Anda mesti ada cita-cita untuk melihat karya anda disebut sebagai karya yang penting,bukan sekadar asal ada karya. Seboleh-bolehnya jangan menghasilkan karya ‘untuk tatapan sendiri’.

 

Penulis wanita yang menulis dalam genre puisi sudah dikira The Last Mohicans. Mereka tidak lagi diperkatakan sebagaimana penyair wanita dekad 70-an, kerana jumlah penulis wanita yang mahu serius sebagai penyair sangatlah kurang dan pemerhati sastera pun lebih memberi perhatian kepada penulis wanita yang menulis dalam genre yang lebih menebalkan poket seperti novel popular. Banyak kertas kerja tentang penulis wanita muda mutakhir ini pun tidak menyebut kelompok penyair. Malah,banyak juga bengkel penulisan puisi dikendalikan oleh penyair lelaki. Saya boleh memilih untuk mengikut arus. Saya sudah cuba tetapi nampaknya saya gagal dengan cemerlang. Menulis sesuatu yang bukan makanan saya memang mendatangkan seksa jiwa.


AR Tompel:Kenapa datuk-datuk semua ni pakai topi fire brigade?

 -Laxmana Doremi-


Posted at 06:59 pm by raihani
Ada pendapat?  

Friday, April 13, 2012
MARI (TIDAK) MENULIS PUISI

Puisi dalam perkembangan mutakhir penulisan kreatif negara dianggap semakin tidak penting.Puisi itu hanya akan diberi perhatian jika yang menulisnya ialah sasterawan besar untuk satu tujuan yang besar. Atau hanya dicari ketika perlu membesarkan imej seorang pemimpin besar. Atau jika puisi itu dibaca oleh artis popular di majlis tertentu. Atau hanya digunakan asal boleh sebagai pelengkap bengkel penulisan.

 

Jika ada kelompok penulis sendiri yang mengatakan bahawa menulis puisi itu satu kerja mudah dan tidak memakan masa (sambil layan FB pun boleh tulis), maka eloklah kita lihat hasil penulisan mereka. Dan percayalah, mereka ini selalunya tidak pergi jauh.

 

Penulis wanita yang menulis puisi lebih-lebih lagi dianggap tidak penting. Kenyataan saya di dalam Berita Hairan 10 April 2012 mungkin akan ditafsir sebagai keluhan penuh pesimis. Tapi ini adalah kenyataan. Perhatian dunia sastera terhadap penulis wanita yang menulis puisi, lebih-lebih lagi penulis muda, tidak serancak perhatian yang diberi kepada penulis novel.

 

Menulis 10 novel setahun dengan tebal 500 halaman mestilah diangggap hebat, berbanding menulis sajak 5 baris. Kan,kan?

 

Milah Hussein:Milah tak mahu balik. Milah nak ikut Abang Badul…

 -Si Badul-

Posted at 09:59 am by raihani
Ada pendapat?  

Sunday, April 01, 2012
LIRIK LAGU MAKAN PENAMPAR

Setiap lagu ditulis untuk 2 tujuan asas iaitu tujuan non-kreatif dan tujuan kreatif. Tujuan non-kreatif merangkumi lagu sekolah, lagu kebangsaan, lagu patrotik, lagu kempen/iklan/promo dan propaganda. Misalnya lagu Balik Kampung, Tegakkan Bendera Kita, Mari Mengundi,Cintailah Alam Sekitar, Hormatilah Tok Siak dan Ketua Kampung serta banyak lagi. Maksud yang terkandung dalam lirik lagu ini jelas, direct to the point dan tidak perlu difikir-fikir sampai banyak kali. Melainkan memang sengaja nak memecahkan kepala otak memikirkan semiotik dan pluralisme di dalam lagu Makanlah Ulam Petai Tempatan, contohnya.


Kadang-kadang rasa nak bagi penampar pada mereka yang memberi alasan (bukan hujah pun!) atas mengapa sesebuah lagu itu diharamkan. Nampaknya lirik lagu lebih menggugah keselamatan negara daripada rasuah, rempit dan radioaktif. Lagu-lagu yang sering menjadi mangsa ialah lagu yang ditulis untuk tujuan kedua iaitu tujuan kreatif. Lagu-lagu yang termasuk di dalam kategori ini ialah lagu-lagu yang kita kenali sebagai lagu cinta dan pop. Lagu-lagu yang dinyanyikan dari zaman P.Ramlee hingga ke zaman Najwa Latif. Segala logik dan realiti yang ada dalam lagu tersebut mati dalam lagu itu sahaja. Lagu-lagu seperti ini juga tak perlulah nak difikirkan logiknya sampai pecah kepala otak.

 

Paling nak bagi penampar ialah kes lagu ‘’Doa’’ nyanyian Arwah Zubir Ali, yang diambil dari puisi Chairil Anwar. Konon kata bijak pandai yang mahu lagu tersebut diharamkan ialah adanya bait ‘’Tuhanku, pintu-Mu kuketuk…’’ Alasan yang bertaraf Maharaja Lawak ialah ‘’Nanti budak-budak ingat Tuhan duduk dalam rumah, sebab ada pintu boleh diketuk-ketuk…’’

 

Terbaru Malique sudah membasuh pakcik makcik yang berkenaan berikutan lagunya, Bawaku Pergi. Pakcik dan makcik ni mesti tak pernah dengar perkataan ‘mind escapism’. Kan,kan?

 

P.Ramlee:Bagus lagunya.Kedai lain tak ada jual, kedai ini aje!

 -Tiga Abdul-

Posted at 12:01 pm by raihani
Ada pendapat?  

Friday, March 23, 2012
SAYA DI PERHIMPUNAN ALUMNI MPR

Saya akan bercakap mengenai pengalaman menghasilkan karya, fokus kepada umpulan sajak saya,Termnus A Quo. Butir-butir program adalah seperti berikut:

Program ALUMNI MPR : Perkongsian Pengalaman Proses Penciptaan Karya.
TARIKH : 24 MAC 2012 (SABTU)

MASA : 9.00 PAGI -12.00 TENGAH HARI

TEMPAT : LAMAN KARYAWAN, TINGKAT 1, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

AHLI PANEL :
 Raihani Mohd.Saaid (MPR 1997)
Ida Munira Abu Bakar (MPR 2004)
Hafizul Osman (MPR 2007)
Saya mengundang semua mantan MPR dan rakan-rakan ke majlis tersebut.Kumpulan sajak Terminus A Quo dan kumpulan cerpen Badrul Bambi juga akan djual.Datang jangan tak datang!

Namron:Mu ni kena racun lagi teruk dari ikanmu!
 -Bunohan-

Posted at 10:01 am by raihani
Ada pendapat?  

Friday, March 16, 2012
KANAK-KANAK BANGKA

Sepatutnya penulis yang sudah 50 atau 60 tahun meninggalkan zaman kanak-kanaknya dimakruhkan (nak haramkan terus nanti susah cari makan pula) daripada menulis novel kanak-kanak. Melainkan novel itu berunsur sejarah, yang memang latar zamannya ialah zaman mereka. Saya baru menyudahkan penilaian terhadap sebuah manuskrip novel kanak-kanak. Saya diminta (dibayar,pasal itu sanggup buat kerja ini) untuk mencoretkan ulasan ringkas;apakah manuskrip itu boleh diterbitkan atau tidak. Jika boleh terbit,apakah penambahbaikan yang perlu dibuat oleh si penulis.Setelah mengkelebek manuskrip tersebut, maka terkeluarlah ayat pertama untuk entri ini.Hehehe!

 

Saya tidak berniat melukakan hati si penulis yang pernah memenangi HSPM ini. Cuma pandangan jujur saya setelah membaca; manuskrip itu memang menyayat hati untuk bacaan kanak-kanak sekolah rendah. Latar novel ialah latar mutakhir; ada disebut penggunaan internet dan Proton Exora. Tetapi nama watak utamanya iaitu budak Darjah 5 ialah Ramli. Ramli?! Jangan kata budak Darjah 5. Bapa budak Darjah 5 sekarang pun belum tentu ada yang bernama Ramli.

 

Walaupun menggunakan tatabahasa yang baik, tetapi pertuturan antara watak sangatlah tidak semulajadi. Dalam erti kata lain;skema. Plot boleh diagak, seperti membaca buku penyiasatan tahun 70-an dan 80-an. Watak utama masih lagi Ahmad, Ah Chong dan Ramasamy. Pemikiran budak Darjah 5 ini ialah pemikiran tok wannya; tak sesuai dengan usia dan latar zaman. Senang cakap;tidak trendy langsung.

 

Tolonglah wahai syarikat penerbitan sekalian. Sila jatuhkan hukum makruh kepada penulis novel kanak-kanak yang sudah laaaaaama tidak kanak-kanak ini.

 

Udo Umar:Eh,eh! Budak-budaklah boleh pegang duit banyak-banyak…sebab dia tak tahu kira!

-Nasib Si Labu Labi-

Posted at 01:00 pm by raihani
Ada pendapat?  

Thursday, March 01, 2012
UNTUK ZAHARI HASIB

Orang yang membawa saya ke dunia penulisan telah dibawa ke alam abadi pada 26 Februari lalu. Kami cuma berjumpa sekali, iaitu ketika saya mengikuti bengkel penulisan kreatif anjuran KEMUDI yang dikendalikan beliau di SMK Teluk Datok, Banting, tahun 1994. Saya berikan beliau sajak Istana Kemerdekaan sebagai keperluan bengkel, beserta nombor telefon.

                                               

Tidak sampai beberapa hari selepas itu, beliau menelefon saya di rumah. Setelah memperkenalkan diri, ayat pertama beliau ialah ''Setelah membaca sajak awak ni, saya terperanjat! Saya terperanjat…!'' Saya pun mulalah gelabah biawak, manalah tahu sajak seposen itu 'terplagiat' sajak sesiapa tanpa pengetahuan saya. Rupanya,beliau hendak memberitahu bahawa sajak saya itu bagus dan beliau mencadangkan supaya dihantar ke Hadiah Puisi Esso-GAPENA II. Dengan bersusah payah, beliau membaiki sepatah kata dalam sajak itu dan mengepos borang penyertaan kepada saya.Ketika inilah baru saya tercakap lebih kurang ''Tak apalah.saya boleh suruh mak saya ambilkan borang tu di Rumah GAPENA…'' ''Siapa mak?'' ''Zurinah Hassan…''

''Ini betul-betul kuah tumpah ke nasi!'' Beliau bersuara dengan penuh gembira dan teruja. Sedikit pun tidak bertanya apakah sajak itu ada tangan-tangan ghaib yang menukangnya. Bersungguh-sungguh beliau mahu saya menyertai sayembara puisi bertaraf kebangsaan itu,tanpa sedikit pun menyebut bahawa saya terlalu muda atau tidak sesuai menyertainya. Setelah beliau membetulkan Istana Kemerdekaan (hanya satu patah kata yang diubah), saya tulis pula Kota Anak Generasi dan menghantar 2 penyertaan ini ke Hadiah Puisi Esso-GAPENA II.The rest is history.

Setiap kali saya ditemubual, saya pasti akan memasukkan nama Zahari Hasib sebagai orang yang membawa saya ke dunia penulisan secara serius. Lalu apabila menerima berita pada 27 Februari lalu, saya terkilan kerana kumpulan sajak TAQ yang ada dedikasi untuk beliau tidak sempat saya kirimkan.Padah suka bertangguh.

Alfatihah untuk Penyair Zahari Hasib,penyair yang mempercayai bahawa budak tingkatan 3 boleh menulis sajak sendiri.

S.Kadarisman:Kanda akan mati dulu…

-Tiga Abdul-

Posted at 10:54 am by raihani
Ada pendapat?  

Friday, February 17, 2012
KESILAPAN YANG TIDAK MAHU DIULANG

Saya akan memasuki semester 3 dalam pengajian Sarjana di UM,kajian filem P.Ramlee.Sedang memurnikan draf proposal dan analisis,saya disentap rasa kesal dan pedih yang amat;mengapa saya buang masa 3 tahun di sebuah universiti di Sir-Dung,kononnya buat PhD terus dalam bidang yang saya sangka saya boleh buat,tetapi rupanya dicatur mengikut petak orang lain? Saya fikir saya graduan Seni Persembahan, maka bidang Drama Dalam Pendidikan itu saya boleh tekuni dengan mudah. Alangkah silapnya saya, kerana mereka mahu Pendidikan, bukannya Drama.

Mengapa saya toleh sejenak dengan hati pedih ini?Saya ditawarkan pekerjaan di situ dan saya fikir saya boleh bertukar bidang pengajian dengan mudah berdasarkan potensi diri. Saya silap.Tidak ada orang yang kenal potensi saya di situ dan tidak ada orang yang mempertahankan saya.Atau berkuasa mempertahankan saya. Maka saya menerima kesudahan yang sangat buruk lagi berparut,ewah di universiti berkenaan. Saya patah balik kepada cinta pertama saya iaitu filem P.Ramlee. Dan pedih itu berbekas kerana saya rasa macam dah lambat sangat untuk settle down. Kawan-kawan yang sebaya semuanya menayang rumah baru masing-masing di samping keluarga yang senang-lenang dan percutian ke luar negara yang membengkakkan saja hati saya.

Tidak mengapalah. Saya akan berusaha juga menyudahkan sarjana ini;sesuatu yang sekurang-kurangnya bila saya bincangkan dengan penyelia,tidaklah saya ternganga-nganga dan tergagap-gagap kerana tidak tahu satu 'hape'.Sementelah ramai juga teman yang menyukai entri-entri berhubung filem Melayu lama di blog saya, maka soalannya;WHY NOT?

P.Ramlee:Aku bukan adikmu,bahlul! Aku adalah tuan besar di dalam rumah ini!
   -Tiga Abdul-


Posted at 01:38 pm by raihani
Ada pendapat?  

Tuesday, February 07, 2012
PAKEJ ISTIMEWA BUKUKU

Rumah Buku Rania menawarkan pakej istimewa berikut:

Badrul Bambi + Terminus A Quo +kos pos=RM25.

Tawaran sah dan tidak batal sampai bila-bila.Hehehe!

 

Jika kawan-kawan berminat,boleh hubungi saya di emel deppviggo@yahoo.com.

 

S.Shamsudin:Tepi sikit! Biar aku tembak dia!

-Sarjan Hassan-

Posted at 12:45 am by raihani
Ada pendapat?  

Saturday, January 21, 2012
HADIAH SASTERA BERUNSUR ISLAM 13


Rezeki tahun 2012!

Tahniah kepada semua pemenang Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-13
 Kategori Cerpen: Pertama:-Zulkifli Hamisan @ Khair (TaubatAl-Munawwarah)
Kedua:-Abd. Razak Adam (Jalan)
Ketiga:-Amin Minhad (Kenapa Air Laut Masin)
Sagu hati:-Hafizah Iszahanid (Nama Saya Ling Mei Ling),
Norshah Aizat Shuaib (Sang Penghukum),
dan Saifullizan Yahaya (Menanti Tamu Istimewa)




Kategori Lirik Lagu:
Petama:-Marini Azahri (Cahaya dari Timur)
Kedua:-Siti Raihani Mohamed Saaid (Puisi di Perhentian)
Ketiga:-Fauziah Abd. Ralip (Muhammad Pembawa Rahmat)

Sagu hati:-Esa Md. Salleh (Tidakkah Kau Ingat),
Muhammad Zaid Md. Saleh (Cinta dari Langit),
dan Ruzaini Yahya (Mencari Cinta-Mu)




Zaiton: Sudah! Tak ada duit! Mana ada jual aiskrim malam-malam!
 -Bujang Lapok-


Posted at 03:58 pm by raihani
Ada pendapat?  

Next Page